Utusan Borneo (Sabah)

‘Dicium’ ribuan kelah di Tasik Kenyir

-

HARGA sekilogram ikan ini yang masih hidup boleh mencecah sehingga RM1,000, sementara harga hidangan ikan yang sama di restoran biasanya tidak kurang daripada RM100 sekilogram.

Itulah nilai ikan kelah yang turut digelar ‘Raja Sungai’ oleh kebanyakan orang termasuk kaki pancing.

Ikan ini juga terkenal dengan kelasakann­ya berenang lincah di celah-celah batu dalam arus sungai yang deras, membuktika­n ia sememangny­a ‘raja ikan air tawar’.

Bagi para pemancing, keseronoka­n ‘bertarung’ dengan kelah adalah antara pengalaman yang sentiasa diidamkan.

Kekuatan ikan kelah melawan setiap tarik dan henjut pemancing serta kebijaksan­aannya menggunaka­n keadaan sekeliling untuk melepaskan diri daripada mata kail membuat ramai pemancing yang akhirnya terpaksa menggigit jari kepasrahan apabila tewas.

Di sebalik kehebatan sang raja, ia tidak terlepas daripada ancaman kepupusan akibat angkara manusia.

Kemusnahan alam sekitar dan tangkapan secara tidak terkawal adalah dua faktor utama menyumbang kepada keadaan ini.

Menyedari ancaman yang semakin hari semakin teruk ke atas spesies ikan ini, Lembaga Pembanguna­n Terengganu Tengah (Ketengah) membangunk­an tempat perlindung­an dikenali sebagai Santuari Ikan Kelah (SIK) di Lubuk Kejor, Sungai Petang yang terletak dalam kawasan Tasik Kenyir.

Mula diusahakan pada Januari 2006, santuari ini kemudianny­a dibuka kepada orang ramai pada 15 Oktober, 2008 untuk memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri habitat ikan kelah ini.

Bagaimanap­un, santuari ini ditutup pada setiap musim tengkujuh iaitu November hingga Februari setiap tahun demi keselamata­n pengunjung kerana sepanjang tempoh itu paras air sungai meningkat dan boleh berlaku banjir.

Selain itu, inilah juga musim untuk ikan ini berenang menongkah arus ke muara sungai dan bertelur.

Di SIK, ribuan kelah hidup bebas tanpa ancaman nafsu rakus manusia yang mahu menangkap ikan berkenaan atau merosakkan habitat mereka.

Meskipun orang ramai boleh mengunjung­i santuari ini dan merasai sendiri pengalaman bermesra dengan ribuan kelah yang ada tetapi mereka dilarang sama sekali daripada menangkap atau memancing ikan itu.

Perlu diperingat­kan, semua ikan kelah di santuari ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985, Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Kaedah 21).

Di bawah Akta itu, manamana orang yang didapati menangkap, membunuh dan memiliki ikan dalam kawasan tutup yang dinyatakan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM 1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dengan perintah pegawai perikanan darat.

Dalam masa yang sama, demi menjaga kebajikan ikan di santuari itu, ia hanya dibuka untuk kunjungan 100 pelawat pada satu-satu hari.

Kuota 80 orang diberi untuk pengunjung yang membuat tempahan awal dan selebihnya untuk pengunjung yang datang tanpa membuat tempahan.

Waktu lawatan bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari.

“Peraturan ini dibuat demi kebajikan ikan itu sendiri kerana kita tidak mahu ia berasa tertekan dengan kehadiran terlalu ramai pengunjung.

“Lagipun tempat ini sebenarnya dibuat untuk ikan-ikan itu.

“Kita hanyalah pelawat yang datang dan pergi tetapi ikan-ikan itu akan terus kekal di sini,” kata Mohd Fauzi Adullah dari Unit Penguatkua­saan Ketengah yang bertugas sewaktu kunjungan ke SIK pertengaha­n September lalu.

Tiket ke santuari dijual pada harga RM10 bagi setiap pengunjung.

Tempahan boleh dibuat melalui syarikat Kenyir Travel and Tours Sdn. Bhd di talian 09-622 1276.

Syarikat itu adalah ejen rasmi pakej pelanconga­n dan pengeluran permit kemasukan pelancong ke santuari ini.

BINA KEPERCAYAA­N

Bagi yang mengenali kelah, pasti faham dengan sifat ikan ini yang bukan sembaranga­n menunjukka­n diri.

Bahkan bagi sesetengah pemancing air tawar, mereka sanggup meredah hutan, mendaki bukit dan berkhemah berhari-hari di tengah hutan semata-mata untuk bertentang mata dengan sang raja itu.

Jika diamati, ikan ini memang dalam kelasnya yang tersendiri.

Gaya renanganny­a dan lagaknya ketika membelah kawanan ikan benar-benar menggambar­kan dirinya sebagai penguasa mutlak sungai.

Apabila bertemu manusia, ia akan segera menghilang­kan diri, bagaikan tidak sudi, apa-tah lagi mengalu-alukan kehadiran makhluk asing di wilayah jajahannya.

Namun lain pula halnya dengan ribuan kelah yang terdapat di SIK ini.

Ikan-ikan berkenaan seakan ternanti-nanti kehadiran pen- gunjung.

Siapa sahaja yang menjejakka­n kaki ke dasar sungai, pasti akan mendapat ‘ribuan ciuman’.

Berdasarka­n cerita orang lama, dikatakan pada awalnya kelah memang tidak hiraukan kehadiran manusia di santuari itu.

Usaha menjinakka­n kelah bermula dengan cara ‘membina keper-cayaan’ antara kawanan kelah dengan manusia.

Proses ini memakan masa yang amat panjang.

Sang kelah perlu berasa selamat walaupun dengan kehadiran manusia.

Kelah perlu tahu bahawa kehadiran manusia ke santuari itu bukan satu ancaman.

Manusia perlu membuktika­n bahawa mereka menghormat­i keperluan sang kelah dalam menjalani hidup mereka secara alamiah.

Kepercayaa­n juga dibina dengan pemelihara­an seluruh kawasan yang menjadi habitat kelah, yang membuatkan ikan itu tidak berasa perlu berhijrah ke tempat lain meskipun ada kehadiran manusia di persekitar­annya.

Pada awalnya ikan-ikan itu tidak langsung menyentuh makanan yang ditabur tetapi selepas beberapa ketika, ikan-ikan itu akan mula makan sedikit demi sedikit sehinggala­h tidak takut atau segan lagi dengan tangan yang menghulurk­an makanan.

Buat penulis yang pertama kali ke santuari ini, ‘layanan’ serta ‘kemesraan’ kawanan ikan yang menyambut ketibaan para pengunjung menjadikan kunjungan ke sini satu kenangan yang tidak akan dapat dilupakan sepanjang hayat.

Sebaik kaki dicelup ke dalam air, ikan-ikan ini meluru datang dengan ‘menghadiah­kan’ gigitan-gigitan manja.

Semakin dalam penulis ditenggela­mi air semakin banyak yang datang.

Pada saat penulis menabur palet makanan dan menenggela­mkan diri, batang hidung penulis pula menjadi sasaran ‘ciuman’ raja sungai ini.

Pada mulanya, penulis sendiri gerun melihat ikan yang begitu banyak.

Rasa geli pun ada juga tetapi apabila sudah mula ‘kenal perangai ikan-ikan di sini, rasa takut bertukar suka, sehinggaka­n seakan tidak mahu keluar dari air sebab terlalu seronok bermain dengan ikanikan itu.

Ternyata berbaloi sungguh berjalan kaki, merentas hutan sekitar 1.7 kilometer yang memakan masa hampir 45 minit dari jeti untuk sampai ke santuari kelah itu.

Badan yang letih kembali segar melihat keindahan alam semula jadi dengan dihiburkan kicauan burung dan suara sang cengkerik yang seolaholah menyambut kedatangan tetamu rimba ini.

Sebelum sampai ke Lubuk Kejor, kami juga perlu melalui jambatan gantung setinggi 20 meter sejauh 112 meter yang merentasi liku sungai.

Boleh dilihat kelah bermain-main di bawah jambatan bagaikan memberi semangat untuk penulis meneruskan baki perjalanan. -Bernama

 ??  ??
 ??  ?? PENGUNJUNG SIK di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu memberi makanan kepada ikan kelah yang merupakan salah satu tarikan di kawasan itu. — Gambar Bernama
PENGUNJUNG SIK di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu memberi makanan kepada ikan kelah yang merupakan salah satu tarikan di kawasan itu. — Gambar Bernama
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia