ASEAN perkukuh kerjasama pengangkutan
Warga ASEAN boleh guna bas dalam rantau ini sama ada untuk perniagaan atau liburan
SINGAPURA: MenteriMenteri Pengangkutan ASEAN bersetuju untuk memudahkan pergerakan rentas sempadan dalam kalangan negara anggota dalam usaha untuk meningkatkan hubungan serantau.
Bagi tujuan ini, perkumpulan serantau itu telah memeterai lima perjanjian dan enam inisiatif yang termasuk meliberalisasikan lagi perkhidmatan udara di rantau ini, menambah baik keselamatan dan kecekapan perjalanan udara dan memudahkan pergerakan rentas sempadan yang lancar dalam kalangan negara anggota.
Permeterian perjanjian itu diadakan pada majlis penutup Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) ke-23, di sini, kelmarin.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata ini merupakan satu pencapaian penting kerana ia menunjukkan kemajuan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) berjalan sangat lancar.
“Kami bukan hanya sekadar membincangkannya, kami melaksanakannya juga. Kini ASEAN berbeza, kerana kita mempunyai banyak persamaan. Rantau-rantau lain kini boleh berbincang dengan ASEAN secara keseluruhan kerana peraturan sedang diselaraskan,” katanya kepada Bernama di luar mesyuarat tersebut.
Satu daripada perjanjian yang dimeterai kelmarin ialah Perjanjian Rangka Kerja ASEAN bagi Pemudahan Pengangkutan Rentas Sempadan Penumpang menggunakan Kenderaan Jalan Raya (CBTP), yang akan memudahkan bas dan koc dari satu negara ASEAN untuk memasuki negara ASEAN yang lain.
Menurut satu kenyataan daripada Kementerian Pengangkutan Singapura, di bawah perjanjian itu, warga ASEAN akan mudah untuk melakukan perjalanan menerusi bas dalam rantau ini, sama ada untuk perniagaan atau liburan.
Kementerian itu berkata dengan perjanjian CBTP, setiap negara akan mempunyai kuota 500 bas tidak berjadual yang akan menikmati kemudahan memasuki atau singgah menerusi negara anggota lain.
Bagaimanapun, ia berkata perkhidmatan bas rentas sempadan berjadual yang diliputi di bawah perjanjian itu masih tertakluk kepada perjanjian bersama antara negara-negara bersebelahan bagi laluan, tempat berhenti, bilangan bas, keperluan teknikal dan tambang.
ATM itu juga menerima Pelan Induk Pengurusan Trafik Udara ASEAN untuk menyokong pembentukan Seamless ASEAN Sky (SAS).
SAS diwujudkan bertujuan untuk memudahkan aliran pesawat dalam ASEAN dengan lebih bersepadu dan terselaras.
Apabila dilaksanakan sepenuhnya kelak, SAS dijangka meningkatkan kapasiti ruang udara, yang akan mengurangkan kelewatan, kos operasi bagi syarikat penerbangan dan meningkatkan keselamatan pengurusan trafik udara, kata kementerian itu.
Para menteri juga memeterai dua perjanjian lain bagi meliberalisasikan perkhidmatan udara di rantau ini.
Ia termasuk perjanjian Protocol 3 bagi hak perkongsian kod domestik antara poin dalam wilayah mana-mana negara anggota ASEAN lain.
Perjanjian itu akan membolehkan syarikat penerbangan ASEAN mengembangkan rangkaian antarabangsa mereka tanpa menggunakan pesawat mereka sendiri, meningkatkan liputan rangkaian ke pasaran-pasaran di mana potensi trafiknya kecil dan kemudiannya meningkatkan kesedaran pasaran dan permintaan bagi hubungan penerbangan terus.
Pelancong akan mempunyai lebih banyak pilihan penerbangan dan menikmati lebih keselesaan seperti menerusi pindahan bagasi dan pemeriksaan bagi penerbangan perkongsian kod.
Perjanjian kedua ialah Protokol untuk Melaksanakan Pakej Komitmen Ke-10 di bawah Perjanjian Rangka Kerja ASEAN bagi Perkhidmatan yang bertujuan mengurangkan sekatan ke atas perdagangan dalam perkhidmatan sokongan pengangkutan udara dalam ASEAN.
Bagi memudahkan pembangunan dan pertumbuhan sektor penerbangan, para menteri juga memeterai Perjanjian Pengiktirafan Bersama bagi Pelesenan Kru Penerbangan, inisiatif keselamatan utama di bawah Pelan Strategik Pengangkutan ASEAN 20162025.
Ini merupakan perjanjian pengiktirafan bersama pertama dalam rantau ASEAN bagi kakitangan penerbangan.
Perjanjian itu akan memudahkan pengesahan atau penukaran lesen yang dikeluarkan oleh sebuah negara anggota ASEAN kepada anggota lain dengan mengurangkan sumber kawal selia yang diperlukan dan kos berkaitan bagi organisasi latihan dan pengendali simulator.
Untuk menambah baik lagi keselamatan pengangkutan udara, ATM juga membuat permulaan yang baik dalam program Penilaian Keselamatan Pengendali Asing ASEAN, yang merupakan satu lagi inisiatif keselamatan utama yang digariskan dalam Pelan Strategik Pengangkutan ASEAN 2016-2025.
Antara lainnya, ia akan membolehkan perkongsian dan analisis data daripada pemeriksaan yang dijalankan ke atas pesawat asing, yang sekali gus membantu meningkatkan lagi tahap keselamatan di ASEAN.
Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN ke-24 akan diadakan di Thailand tahun depan. — Bernama