SIRIM agih RM20 juta kepada 150 PKS menerusi program kerjasama Fraunhofer
KUALA LUMPUR: SIRIM Bhd mengagihkan dana sejumlah RM20 juta kepada 150 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi program SIRIM-Fraunhofer bagi 2017.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata kerjasama dengan Institut Fraunhofer, Jerman tersebut akan membolehkan syarikat PKS terbabit meningkatkan pengeluaran dengan menggunakan elemen teknologi baharu.
Beliau berkata, 80 peratus daripada dana yang diberikan itu adalah peruntukan kerajaan melalui SIRIM manakala 20 peratus lagi disediakan oleh PKS dan ia diberikan berdasarkan keperluan PKS yang terdiri daripada sektor makanan dan minuman, teknologi dan inovasi, serta alam sekitar.
“Program ini sangat berjaya, ada antara syarikat telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan produktiviti mereka juga dapat ditingkatkan selepas menyertai program ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penghargaan program SIRIM-Fraunhofer dan majis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di sini, kelmarin.
Majlis tersebut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau yang turut menyaksikan penandatanganan MoU itu.
Ahmad Fadzil berkata, sejak diperkenalkan pada 2015, sebanyak 472 syarikat PKS telah menjalani audit teknologi menerusi program tersebut.
“Daripada jumlah itu sebanyak 337 syarikat telah menjalani pelbagai tahap pelaksanaan projek intervensi melalui adaptasi teknologi yang disyorkan dan menerusi program ini juga masalah yang dialami PKS dapat dikenal pasti menerusi audit teknologi.
“Antara penyelesaian intervensi teknologi dan inovasi yang dilaksanakan adalah adaptasi teknologi baharu dalam pembangunan produk dan proses termasuk pengujian prototaip, peningkatan proses pengeluaran serta pembangunan kompetensi dalam pengurusan teknologi dan inovasi,” katanya.
SIRIM turut menandatangani tujuh MoU berasingan dengan syarikat dan sebuah universiti tempatan antaranya, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan Zull Design Autotronic, serta Universiti Teknologi Petronas untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang teknologi dan pengkomersialan. — Bernama