CNQC Hong Kong akan muncul sebagai pemegang saham terbesar Vivocom
KUALA LUMPUR: Vivocom International Holdings Bhd (Vivocom) kelmarin mengumumkan yang dua pemegang saham utamanya telah menandatangani lembaran terma dengan CNQC International Holdings Ltd.
Dalam satu kenyataan kelmarin, syarikat itu berkata, CNQC berhasrat untuk membeli sehingga 970.27 juta saham, iaitu 29.15 peratus kepentingan ekuiti dalam Vivocom melalui perjanjian pertukaran saham dengan pemegang saham terbesarnya, iaitu Ang Li-Hann dan Golden Oasis Resources Sdn Bhd.
“Selanjutnya, perjanjian pertukaran saham muktamad yang menetapkan terma dan syarat pengaturan pertukaran saham akan dipersetujui dan ditandatangani oleh pihak terlibat.
“Apabila perjanjian pertukaran saham berjaya diselesaikan, CNQC akan muncul sebagai pemegang saham terbesar tunggal dalam Vivocom,” katanya.
CNQC kini disenarai di Papan Utama Bursa Saham Hong Kong dengan permodalan saham HK$4.02 bilion (bersamaan RM2.18 bilion) setakat awal Oktober 2017.
Syarikat itu adalah kontraktor dan secara prinsipnya terlibat dalam perniagaan asas serta perniagaan pajakan jentera di Hong Kong serta Macau dan ia adalah sebahagian daripada Qingjian Group di Qingdao, China.
Pengarah Eksekutif Vivocom, Choo Seng Choon berkata, pembelian strategik oleh CNQC merupakan potensi besar untuk syarikat itu berdasarkan rekod kejayaannya di Singapura.
“Kami yakin akan mendapat lebih banyak projek dan dipelawa terlibat dalam lebih banyak projek mega oleh sektor swasta dan kerajaan pada masa depan,” katanya dengam menambah, CNQC telah menyiapkan lebih 60 projek pembinaan serta telah menyerahkan lebih 30,000 unit kediaman. — Bernama