Potensi perniagaan IGEM 2017 melepasi sasaran RM1.6 bilion
KUALA LUMPUR: Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM 2017) ke-8, yang berakhir kelmarin, melepasi sasaran awal potensi perniagaan sebanyak RM1.6 bilion.
Dalam satu kenyataan kelmarin, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata, 15 memorandum persefahaman telah ditandatangani semasa majlis tiga hari tersebut.
Pameran itu memaparkan hampir 350 gerai daripada syarikat terkemuka dunia dan menarik pengunjung daripada 20 negara.
Pengarah Urusan BSL Eco Energy, Lim Chi Haur, antara pempamer di IGEM 2017 berkata, syarikat itu berjaya memperoleh dua kerjasama penting, iaitu dengan Seraphim Solar System dan TBEA Co Ltd.
“Kami juga telah mempamerkan produk kami kepda pelbagai pihak berkepentingan dari seluruh dunia, termasuk pegawai kerajaan, konglomerat global, pelabur serta usahawan.
“IGEM benar-benar telah memenuhi reputasi sebagai gerbang kepada teknologi hijau di ASEAN,” katanya.
IGEM 2017 menyaksikan penyertaan global yang tinggi, memaparkan pelbagai pavilion antarabangsa daripada negara seperti China, Jepun dan Korea Selatan serta wakil serantau dari Taiwan dan Kesatuan Eropah melalui Dewan Perniagaan dan Industri EU-Malaysia.
Delegasi perdagangan antarabangsa dari Korea Selatan, Republik Czech, China dan Jepun turut menghadiri majlis itu bagi menjalin hubungan perniagaan antara negara. — Bernama