Minggu Filem APEC kini di Da Nang, Vietnam
MINGGU Filem APEC (Kerjasama Ekonomi AsiaPasifik) 2017 yang bermula di pusat bandar pesisir Da Nang pada Khamis, menonjolkan kepelbagaian budaya dan penduduk negara anggota badan itu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Acara itu, yang bakal berlangsung sehingga 17 Oktober, bertujuan meningkatkan kesepakatan bersama dan memperluas kerjasama ekonomi di AsiaPasifik.
Sebelas filem akan ditayangkan termasuk ‘My nhan’ (Beauty) dari Vietnam, ‘I’m still here’ dari Peru, ‘Tsukiji Wonderland’ dari Jepun, ‘My Paparotti’ dari Korea Selatan, ‘Children of China’ dari China, dan ‘Blue Moon’ dari Taipei China.
Turut ditayangkan filem ‘Nokas’ dari Indonesia, ‘The Age of Pioneers’ dari Rusia, ‘Jack of the Red Hearts’ dari Amerika Syarikat (AS), ‘Violeta Went to Heaven’ dari Chile dan ‘The Dressmaker’ dari Australia, yang dijangka mampu menghiburkan para penonton.
Berdasarkan tema APEC bagi Tahun 2017 ‘Creating New Dynamism, Fostering a Shared Future’, minggu filem itu dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Nasional APEC 2017 serta Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam.
Ditubuhkan pada 1989, APEC terdiri daripada 21 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei China, Thailand, AS dan Vietnam. — Bernama