Bajet 2018 dijangka pacu prestasi ringgit
KUALA LUMPUR: Jangkaan Bajet 2018 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 Oktober ini menjanjikan perkara yang positif, diunjur turut memacu permintaan terhadap ringgit pada minggu ini, kata para peniaga.
Bagaimanapun, mereka turut mengingatkan bahawa pergerakan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) juga berkemungkinan dikekang tindakan AS yang meluluskan pelan induk belanjawannya bagi tahun fiskal 2018.
Dewan Senat AS yang dikuasai Parti Republikan, meluluskan pelan induk belanjawan berkenaan pada Khamis yang menyaksikan dolar AS tinggi berbanding kelompok mata wang utama.
Malah, kelulusan itu akan turut membuka jalan bagi potongan cukai dan perundangan lain tanpa sokongan daripada Parti Demokrat.
“Ini meningkatkan lagi harapan terhadap rangsangan fiskal bagi ekonomi AS dan memberi jaminan positif terhadap mata wang yang dianggap selamat itu,” kata seorang peniaga kepada Bernama.
Sementara itu di peringkat tempatan, kalangan penganalisis dan ahli ekonomi menjangkakan Bajet 2018 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat depan, akan menumpukan usaha memenuhi keperluan golongan isi rumah 40 peratus berpendapatan terendah (B40).
Bagi asas perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan rendah pada paras 4.2240/2260 berbanding dolar daripada 4.2200/2240, sebelum ini.
Ringgit sebaliknya tinggi berbanding mata wang lain. Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1057/1085 daripada 3.1146/1187 pada Jumaat lepas, meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7252/7279 daripada 3.7638/7677 dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.5512/5555 daripada 5.5995/5065.
Ringgit juga tinggi berbanding euro pada 4.9885/9922 daripada 4.9918/9970 berikutan kelemahan mata wang berkenaan akibat krisis Catalonia di Sepanyol.
Pasaran tempatan ditutup pada Rabu bersempena Deepavali.