‘Kami mahu sama-sama raikan kelahiran cahaya mata sulung’ : Isteri
GEORGE TOWN:“Saya berharap suami saya ditemui dengan selamat agar kami sama-sama dapat menyambut kelahiran cahaya mata sulung kami,” kata isteri kepada seorang daripada mangsa insiden tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini.
Nuraini Rosanti Abdullah, 32, yang hamil tiga bulan, berkata dia dan suaminya, Ali Raza Mohd Jamil, 23, seorang warga Pakistan, baru sahaja menerima khabar gembira yang mereka bakal menjadi ibu bapa tidak lama lagi, namun kini semuanya kelam selepas dia dimaklumkan mengenai tragedi itu pagi Sabtu lepas.
“Kami baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada Jun lalu setelah berkenalan di Melaka pada awal tahun ini,” katanya kepada Bernama di luar lokasi kejadian, di sini pada Ahad.
Nuraini yang berasal dari Sulawesi, Indonesia, berkata sejak menerima khabar duka itu daripada bapanya yang juga menetap di sini, hatinya menjadi tidak keruan, namun pada masa sama berharap agar usia suaminya dipanjangkan.
Dalam kejadian di tapak pembinaan projek rumah mampu milik itu, seramai 11 pekerja disahkan tertimbus dan sehingga kini tujuh mayat berjaya dikeluarkan.
Nuraini berkata dia dimaklumkan usaha mencari menyelamat empat lagi termasuk suaminya agak sukar kerana terdapat banyak cerucuk yang perlu dipotong terlebih dahulu.
Menurutnya, Ali Raza berkelakuan agak pelik beberapa hari sebelum kejadian termasuk hanya mahu makan keropok pada malam sebelum kejadian.
“Kebiasannya suami saya sangat suka makan masakan ikan siakap saya, namun sehari sebelum kejadian dia tidak mahu menyentuh makanan itu kerana mengatakan mahu tidur.
“Dia seorang yang sangat penyayang dan pendiam… namun dia amat kurang bercakap kira-kira tiga hari sebelum kejadian itu,” katanya.