Mangsa banjir dapat pembelaan
Shahidan pastikan 2,113 mangsa banjir dapat kemudahan dan bekalan makanan
MANGSA banjir di daerah ini yang berjumlah 2,113 orang di sembilan pusat pemindahan terus mendapat pembelaan kerajaan.
Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang tiba di ibu negeri pada jam 8.20 malam Sabtu, bergegas ke pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud, kira-kira jam 9.50 malam.
Beliau yang diiringi Pegawai Daerah Abdul Gari Itam meneruskan lawatan ke Dewan SMK Taun Gusi I pada jam 11.55 malam bagi meninjau keperluan serta respon mangsa banjir, dan mendapatkan perkembangan operasi di pusat pemindahan daripada para petugas dan agensi-agensi yang terlibat, sebelum kembali ke Kota Kinabalu pada jam 1 pagi.
Shahidan turut dijadualkan menghadiri sidang media di Kapal KM Arau, Jeti Tentera Laut Diraja Malaysia di Sepanggar pada jam 9 pagi Ahad.
Terdahulu, Shaidan ketika sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) memaklumkan kerajaan mahu operasi di pusat pemindahan berjalan lancar dan tinjauan dilakukan beliau itu bertujuan memastikan semua mangsa mendapat kemudahan dan bekalan makanan yang mencukupi. “Perkembangan bencana di Sabah setakat ini melibatkan tanah runtuh di Penampang serta banjir di Kota Belud dan Tuaran. “Mangsa tanah runtuh adalah 34 orang dari sembilan keluarga, manakala mangsa banjir di kedua-dua daerah pula berjumlah 2,396, kini berada di 11 pusat pemindahan. “Kita akan cuba memberikan yang terbaik kepada semua mangsa terlibat dengan memastikan mereka selamat serta mendapat kemudahan yang mencukupi,” katanya.
Banjir yang melanda 26 kampung di Kota Belud mel- ibatkan 705 keluarga yang turut ditempatkan di tujuh lagi pusat pemindahan iaitu Dewan Muhibbah Tombol, Dewan Gopog Kg Taginambur, Dewan SMK Agama Tun Said, Dewan SMK Taun Gusi I, SK Pekan I, Kompleks Sukan Butong dan SK Taun Gusi.
Sementara itu, paras bacaan air juga dilaporkan telah menurun ke tahap baik.
DATUK SERI SHAHIDAN KASSIM Menteri di Jabatan Perdana Menteri
“
Kita akan cuba memberikan yang terbaik kepada semua mangsa terlibat dengan memastikan mereka selamat serta mendapat kemudahan yang mencukupi.
”