Yusof kekal setia pada Umno
Meskipun berhadapan pelbagai cabaran
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lahad Datu Datuk Mohd Yusof Apdal melafazkan ikrar taat setia kepada pucuk pimpinan parti Umno meskipun berhadapan pelbagai cabaran.
Beliau berkata, hubungan bersama pucuk pimpinan parti Umno yang lain tidak pernah pudar walaupun beliau baharu sahaja selesai direman selama enam hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
“Walaupun berhadapan pelbagai cabaran, saya percaya ia tidak pernah menggugat kesetiaan saya terhadap kepimpinan khususnya parti Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Malah, saya akan terus bersama Umno berjuang
“Walaupun berhadapan pelbagai cabaran, saya percaya ia tidak pernah menggugat kesetiaan saya terhadap kepimpinan khususnya parti Umno dan Barisan Nasional ” (BN) DATUK MOHD YUSOF APDAL
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lahad Datu
untuk terus menjadi pilihan hati rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya ketika pada sidang media khas di sini pada Rabu.
Yusof yang juga ketua Umno Bahagian Silam turut menasihatkan penyokong supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang memutarbelit cerita berkaitan kes reman ke atasnya.
Katanya, tindakan reman oleh SPRM sama sekali tiada berunsurkan politik seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak lawan.
“Saya percaya semua akan faham, jangan sampai terpengaruh dengan hasutan mereka (pembangkang) kerana ini tiada motif politik sama sekali. “SPRM hanya menjalankan tanggungjawab secara profesional mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sudah ditetapkan dan saya amat berterima kasih atas layanan baik mereka,” katanya.
Beliau kini sedang menerima rawatan susulan ekoran masalah kesihatan dan dijangka akan keluar dalam masa terdekat ini.