Majlis Makan Malam Amal 2017 SMK Bandau sukses
WALAUPUN hanya berhiaskan cahaya lilin namun sedikit pun tidak mengganggu perjalanan Majlis Makan Malam Amal 2017 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau di Kota Marudu.
Ia ekoran kejadian pokok tumbang yang menyebabkan bekalan elektrik terputus. Keadaan itu bagaimanapun langsung tidak menjejaskan perjalanan majlis pada malam itu yang berakhir dengan jayanya.
Kejayaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bandau manganjurkan majlis makan malam amal untuk kali kedua pada malam itu adalah hasil gandingan mantap antara badan persatuan itu dengan warga sekolah serta masyarakat di dalam dan sekitar Kota Marudu.
Antara tujuan majlis adalah untuk mengutip dana bagi membantu kemenjadian para pelajar dalam bidang kurikulum dan kokurikulum agar dapat direalisasikan selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Selain itu, majlis juga bertujuan menjalinkan silaturahim antara warga sekolah dengan masyarakat Kota Marudu dan daerah sekitarnya.
Antara pengisian acara dalam majlis itu adalah seperti cabutan tiket bagi peserta bertuah dan pertandingan Ratu Batik Kontemporari yang diuruskan sendiri oleh pengarah projek majlis berkenaan Datin Maltida Bagang.
Di samping itu, majlis turut dimeriahkan lagi dengan persembahan beberapa lagu oleh artis tempatan.
Semua yang hadir merasa teruja dengan pertandingan Ratu Batik Kontemporari yang julung kali diadakan di daerah ini, yang disertai sembilan orang.
Kesemua peserta berendinobatkan tap sebanyak tiga pusingan. Keputusannya, Falynda sebagai johan manakala naib johan disandang Evanatie dan Nazira Nyka berpuashati di tempat ketiga namun, turut dinobat sebagai Miss Popular melalui undian oleh semua yang hadir pada malam itu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Adun Tandek Datuk Anita Baranting.
Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa bangga atas usaha murni PIBG SMK Bandau kerana berjaya menganjurkan majlis seumpama itu bagi membantu mencari dana dan mahu memastikan aspek kemenjadian pelajar dapat dicapai.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada warga SMK Bandau khususnya kepada barisan pentadbir dan AJK PIBG kerana telah berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Untuk makluman juga, SMK Bandau adalah satusatunya sekolah di daerah ini yang telah berjaya menganjurkan majlis seumpama itu buat kali kedua,” katanya.
Anita turut memberikan sokongan dan dorongan kepada pihak penganjur agar dapat meneruskan majlis seumpama itu pada masa akan datang.
Majlis yang bermula kira-kira jam 7.30 malam itu berlangsung dengan jayanya sehingga melabuhkan tirai sekitar jam 11.30 malam.