Polis ketat kawalan, bersedia hadapi sebarang provokasi
KOTA KINABALU: Polis melakukan kawalan keselamatan bagi menghadapi sebarang kejadian tidak diduga daripada orang ramai di luar mahkamah di sini pada Jumaat.
Kehadiran anggota polis di perkarangan mahkamah seawal jam 8 pagi turut melarang penyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) daripada memasuki kawasan mahkamah sehingga menyebabkan kesesakan di dalam.
Kira-kira lebih 600 penyokong Warisan yang rata-ratanya memakai baju berwarna jingga mula berkumpul di luar pagar mahkamah bagi menyambut kehadiran presiden mereka Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dibebaskan pada Jumaat.
Keadaan terkawal sehingga Shafie dibebaskan jam 10 pagi dan penyokong dilihat mula melaungkan ‘Sabah, Ubah’ sebanyak tiga kali sehingga kereta yang membawa Shafie beredar dari perkarangan mahkamah.
Pihak polis kemudiannya mengarahkan penyokong Warisan untuk beredar dan bersurai dari kawasan berdekatan mahkamah.
Tindakan penyokong Warisan yang bergerak agak lambat bagaimanapun menyebabkan anggota polis mengeluarkan arahan lisan lebih tegas agar mereka beredar dari kawasan berkenaan.
Kira-kira 10 minit kemudian kawasan Taman Chong Thien Vun yang dijadikan tempat berkumpul mula lengang dan keadaan kembali normal seperti biasa.
Lebih 200 anggota polis yang berkawal di kawasan mahkamah dengan beberapa jentera termasuk lori polis yang disediakan untuk sebarang kemungkinan.