Jalinan kerjasama strategik
Memperkukuh inklusiviti ke arah kesejahteraan masyarakat
SIPITANG: Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2017 berlangsung meriah di Dewan Serbaguna Sipitang.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ayid dalam ucapannya berkata tema Hari Antarabangsa Sambutan Warga Tua Bangsa Bangsa Bersatu adalah ‘Memperkukuh Inklusiviti Ke Arah Kesejahteraan Masyarakat’.
Katanya, tema itu membawa maksud kerjasama multisektoral dan kolaborasi strategik semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, syarikat korporat, badan bukan kerajaan mahu pun individu dalam menyumbang kreativiti, fasiliti, idea, barang keperluan dan sebagainya kepada kumpulan sasar.
“Tema ini dipilih sebagai satu simbol kesepakatan pelbagai sektor dan lapisan masyarakat dalam memastikan kesejahteraan kumpulan sasar kementerian dan jabatan iaitu warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
“Sesungguhnya, kesejahteraan bagi golongan berkenaan adalah amat penting untuk diterapkan ke dalam jiwa setiap lapisan generasi dalam masyarakat,” jelasnya.
Dihadiri lebih 2,000 orang, majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Dr Haji Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Dr Hajah Norlidah RM Jasni.
Pada majlis itu juga, Juhar menyampaikan Anugerah Khas sempena sambutan berkenaan kepada empat orang termasuk satu pasangan.
Mereka adalah pesara kerajaan yang memegang jawatan akhir sebagai Penolong Akauntan Kanan di Jabatan Ketua Menteri, Rosli Mohd Tahir, 67, bersama isteri Mahani Mohd Salleh yang menerima Anugerah Khas Pasangan.
Bekas anggota Tentera Darat, Lukas Pengiran, 78, dari Long Pasia pula diberikan Anugerah Khas Individu Lelaki, manakala bekas guru Rafuah @Rapiah Jaafar, 61, dari Kg Ujung Padang Sipitang meraih Anugerah Khas Individu Perempuan.
Selain itu, 250 warga emas lain juga menerima set mandian serta sehelai tuala yang disampaikan Norlidah, diiringi Jainab serta ahli jawatankuasa penganjur.
Hadir sama, Adun Sindumin Datuk Ahmad Bujang, Timbalan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan Datuk Anita Baranting dan Pegawai Daerah Matlin Dullah.
Berakhir pada jam 12 tengahari Khamis, majlis yang dibuka dengan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku juga ditutup dengan lagu sama oleh Pancaragam Polis Kontinjen Sabah, sebelum tetamu kehormat beredar meninggalkan majlis.
Sesungguhnya, kesejahteraan bagi golongan berkenaan adalah amat penting untuk diterapkan ke dalam jiwa setiap lapisan generasi dalam masyarakat DATUK JAINAB AYID Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna