40 peserta tamatkan kursus pertanian
KOTA KINABALU: Seramai 40 warga Sabah dari pelbagai daerah telah berjaya menamatkan Kursus Teknologi Pertanian yang telah diadakan di Bioxpert Agrotechnology Centre, Kampung Ratau Manggatal.
Objektif kursus bertujuan memberi pendedahan mengenaiteknologipertanian yang murah dan mudah untuk diaplikasikan oleh komuniti di Sabah.
Pengurus Bioxpert Agrotechnology Centre Benny Franklin Hartheman yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Teknologi Tumbuhan) dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata Pusat Teknologi menyediakan pelbagai kursus seperti pembuatan baja kompos, tanaman organik, pembiakan tumbuhan dan keusahawanan.
Katanya, kursus itu akan membantu komuniti Sabah seperti petani bagi meningkatkan hasil pengeluaran mereka. Contohnya, teknologi pengomposan (vermicomposting) yang diajar, petani dapat menggunakan kaedah itu bagi mengitar semula sisa buangan pertanian yang selama ini dibuang begitu sahaja untuk menghasilkan baja kompos berkualiti tinggi.
“Baja kompos yang dihasilkan kemudian dapat digunakan sendiri oleh petani bagi mengurangkan kebergantungan baja di pasaran.
“Para petani yang mengaplikasikan teknologi ini dapat meningkatkan keuntungan bersih dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Selain itu, peserta juga diberi pendedahan mengenai kaedah pertanian organik serta teknik pembiakan tumbuhan bagi mendapatkan genetik tumbuhan yang baik.
Kursus juga bertujuan mempromosikan keusahawanan dalam kalangan belia terutamanya dalam industri pertanian.
Benny berkata pusat Bioxpert Agrotechnology Centre sudah melaksanakan kursus lebih setahun yang lalu.
Katanya harapan pada masa hadapan adalah untuk menubuhkan pusat latihan pertanian sendiri di Sabah bagi membantu komuniti di sini terutama komuniti luar bandar yang kurang mendapat pendedahan mengenai teknologi pertanian yang mudah dan murah lagi bermutu tinggi.
Selain mengadakan kursus di Pusat Bioxpert Agrotechnology, beliau juga sering dijemput mengendalikan kursus dan latihan di luar bandar bagi kemudahan komuniti di luar bandarsertaaktifbekerjasama menerima jemputan daripada badan bukan kerajaan (NGO) seperti WWF di Kudat, bekerjasama dengan NGO Yayasan Sejahtera bagi memberi kursus dan latihan pertanian bagi meningkatkan taraf hidup komuniti petani di Kota Marudu dan Pitas.
Beliau amat berbangga kerana pernah dianugerahkan Anugerah RBC (Rural Business Challenge) yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada 2012.