SPRM tangguh proses siasatan Naib Presiden Warisan
Naib Presiden Warisan diminta hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangguh proses siasatan terhadap salah seorang pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan).
Naib Presiden Warisan Datuk Peter Anthony berkata pihak SPRM memaklumkan perkara itu melalui telefon kira-kira jam 11.30 pagi Selasa.
Katanya pihak SPRM memberitahu agar arahan untuk hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya ditangguhkan ke satu tarikh yang belum diberitahu.
“Proses untuk memanggil saya ke sana bagi memberikan keterangan dibatalkan dan saya diberitahu melalui peguam saya dalam tempoh kurang dari dua jam selepas saya keluar dari ibu pejabat SPRM Sabah,” katanya.
Terdahulu, Peter bersama peguamnya Martin Tommy hadir di Ibu pejabat SPRM Sabah jam 9.25 pagi pada Selasa sebaik dipanggil pihak SPRM, bagaimanapun beliau dilihat keluar kira-kira setengah jam kemudian.
Beliau kemudiannya memberikan kenyataan bahawa pihak SPRM memberikan waran untuk hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya pada jam 8.30 pagi hari ini bagi membantu siasatan kes yang belum dimaklumkan.
“Penangguhan ini dipercayai disebabkan oleh hujah peguam saya kepada pihak SPRM, tambahan pula keadaan kesihatan saya tidak berapa baik untuk melakukan perjalanan jauh,” katanya.
Beliau dikehendaki memberikan keterangan berkenaan siasatan kontrak penyelenggaraan bernilai RM43 juta di sebuah universiti di negeri ini, bagaimanapun beliau mendakwa tidak pernah terbabit dalam kontrak berkenaan.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu jam 2.30 petang Selasa.
Selain Peter, seramai 29 lagi ahli Warisan dan empat individu dipanggil bagi membantu siasatan berkenaan lapan siri perhimpunan yang dijalankan oleh parti terbabit di beberapa kawasan termasuk Suria Sabah, mahkamah dan hospital.
“Proses untuk memanggil saya ke sana bagi memberikan keterangan dibatalkan dan saya diberitahu melalui peguam saya dalam tempoh kurang dari dua jam selepas saya keluar dari ibu pejabat SPRM Sabah.
DATUK PETER ANTHONY Naib Presiden Warisan