Beri penekanan kembangkan bidang kreatif pelajar
KEMENTERIAN Pendidikan menawarkan program Pendidikan Asas Vokasinal (PAV) bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga serta program Pendidikan Vokasional Menengah Atas (PVMA) mulai tahun lepas di 269 sekolah menengah kebangsaan terpilih.
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan berkata ia adalah sebahagian perancangan kerajaan dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
“Antara strategi yang dilaksanakan adalah dengan memasukkan elemen kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) secara eksplisit ke dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran setiap mata pelajaran bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
“Selain itu, kementerian juga menawarkan mata pelajaran berasaskan kreativiti dan teknologi pada peringkat menengah atas. Murid berpeluang mengikuti mata pelajaran seperti Grafik Komunikasi Teknikal, Asas Kelestarian, Reka Cipta dan Sains Komputer,” katanya ketika sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat, Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai perancangan kementerian itu dalam menyediakan sekolah yang lebih memberi fokus dalam bidang kreatif dan teknologi bagi memastikan Malaysia mampu melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
Katanya, pelaksanaan mata pelajaran yang memberi fokus kepada konsep asas kemahiran pemikiran pengkomputeran mampu melahirkan murid berkemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi, selain meningkatkan kemahiran strategi penyelesaian masalah secara kreatif dan inovatif pelajar. - Bernama