‘Balu Hitam’ Jepun dihukum mati
TOKYO: Sebuah mahkamah di Jepun semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang bekas jutawan wanita yang digelar ‘Balu Hitam’, yang menipu kekasih yang sudah berusia untuk meminum sianida dan mengaut jutaan dalam bayaran insurans dan warisan.
Mahkamah Daerah Kyoto menjatuhkan hukuman mati ke atas Chisako Kakehi, 70, atas kesalahan membunuh tiga lelaki termasuk suami, dan cuba membunuh seorang lagi, untuk menamatkan kes berprofil tinggi yang menarik perhatian seluruh negara.
Kakehi menggunakan racun sianida untuk membunuh beberapa lelaki berusia yang menjalin hubungan dengannya, sekali gus mengundang perbandingan dengan labahlabah yang membunuh pasangannya selepas mengawan.
“Tertuduh membuat mangsa minum sebatian sianida dengan niat untuk membunuh dalam keempatempat kes,” kata Hakim Ayako Nakagawa kepada mahkamah, menurut badan penyiaran awam NHK.
Nakagawa menolak hujah peguam bela Kakehi tidak bertanggungjawab dari segi jenayah kerana dia mengalami kenyanyukan.
Pendakwa berkata dia membunuh mangsa selepas mereka menjadikannya waris polisi insurans hayat yang bernilai jutaan dolar.
Dia dilaporkan mengumpul satu bilion yen (RM37.8 juta) dalam bayaran selama 10 tahun tetapi seterusnya kehilangan kebanyakan kekayaan itu dalam perniagaan kewangan yang tidak berjaya.
Dia menjalin hubungan dengan ramai lelaki, kebanyakannya warga emas atau sakit, mengenali sebahagian mereka menerusi agensi temu janji, di mana dia dilaporkan menyatakan teman yang berpotensi haruslah kaya dan tiada anak.
Kakehi, yang juga dikenali sebagai ‘Wanita Racun’, dikatakan menyembunyikan sebahagian daripada sianida dalam pasu tumbuhan yang dia kemudian buang.
Racun itu dijumpai dalam badan sekurang-kurangnya dua lelaki yang menjalin hubungan dengannya dan polis dilaporkan menjumpai kesan sianida dalam sampah di rumahnya di Kyoto.
Mereka juga menemui kelengkapan untuk memberi ubat selain buku perubatan di sebuah pangsapuri yang dia simpan di selatan Kyoto.
Kakehi mulanya enggan bercakap ketika perbicaraannya bermula Jun lalu tetapi kemudian mengejutkan mahkamah apabila mengakui membunuh suami keempatnya pada 2013.
“Saya membunuhnya kerana dia memberi wanita lain puluhan juta yen tetapi saya tidak menerima sesen pun,” katanya kepada mahkamah, menurut Jiji Press.
Tertuduh terdahulu memberitahu hakim dia bersedia untuk dihukum gantung.
“Jika pun saya dihukum esok, saya akan mati dengan senyuman,” kata Kakehi kepada hakim.
Namun peguamnya dilaporkan merancang untuk mengemukakan rayuan, sekali gus membayangkan perbicaraan berprofil tinggi tersebut mungkin akan berlarutan. — AFP