IRDA dan Smart City bekerjasama bangunkan Bandar Pintar Iskandar M’sia
JOHOR BAHRU: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) semalam menandatangani memorandum persefaham (MoU) bersama Smart City Consortium Hong Kong (SCCHK) sebagai langkah persediaan dalam mentransformasikan Iskandar Malaysia sebagai bandar pintar.
Ketua Pegawai Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim berkata, MoU itu selari dengan Rangka Kerja Bandar Pintar Iskandar Malaysia iaitu Internet untuk segalanya (IoT) dan pembangunan bandar yang merangkumi penambahbaikan, pembinaan infrastruktur moden serta meningkatkan kualiti dan standard operasi serta penyelenggaraan.
“IRDA akan terus memastikan pembangunan koridor ekonomi dilaksanakan secara strategik dalam memastikan usaha mentransformasi wilayah Iskandar Malaysia menjadi bandar pintar dapat direalisasikan berpandukan Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia Kedua (CDPii).
“MoU ini akan mengukuhkan lagi Rangka Kerja Bandar Pintar Iskandar Malaysia dan kita juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan IRDA yang mahu menjayakan usaha menjadikan kawasan pembangunan Iskandar Malaysia sebagai sebuah bandar metropolis antarabangsa pintar, mapan dan lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pelancaran Majlis Penasihat Futuristik Iskandar Malaysia (FIMAC) dan laman web FIMAC di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Bersama FIMAC Professor Amran Hamzah, Ahli Lembaga merangkap Pengerusi Kajian dan Jawatankuasa Rangka Tindakan SCCHK Daniel Chun dan Naib Presiden Kanan Urban Observatory IRDA Khaidzir A Rasip.
Menurut Ismail, MoU tersebut akan membolehkan SCCHK menghubungkan Malaysia dengan perniagaan inovatif dan projek-projek bandar pintar di dalam pasaran antarabangsa.
“Ia juga akan membolehkan syarikat-syarikat startup (pemula niaga) ekonomi baharu menjalin kerjasama dalam platform dan pasaran bandar pintar di kedua-dua negara selain mempromosikan Hong Kong sebagai hab pasaran bebas bagi kewangan dan padanan projek-projek bandar pintar antarabangsa dan pelaburan antara Malaysia-Hong Kong.
“Kita juga akan dapat memupuk bakat dan usahawan yang dapat menyokong pembangunan bandar pintar selain membawa masuk teknologi bandar pintar ke dalam pembangunan wilayah Iskandar,” jelasnya.
Mengenai tujuan penubuhan FIMAC, beliau berkata ia untuk menghubungkan kesemua pihak berkepentingan yang relevan berkaitan inisiatif futuristik di dalam Iskandar Malaysia.
“FIMAC terdiri daripada badan-badan kerajaan, profesional, akademik, penyedia perkhidmatan teknologi termasuk pelabur sektor ekonomi di dalam Iskandar Malaysia.
“Mesyuarat pertama FIMAC diadakan pada November tahun lepas yang diikuti dengan mesyuarat setiap suku tahun yang kini telah disertai lebih 70 organisasi berbanding 30 organisasi pada awal penubuhannya,” katanya.
FIMAC juga bertindak sebagai platform bagi pihak berkaitan untuk berkongsi dan bertukar idea serta pandangan yang akan membentuk masa hadapan Iskandar Malaysia dalam konteks inovasi dan teknologi. — Bernama