Utusan Borneo (Sabah)

Sektor kenderaan bermotor dijangka sumbang 10% kepada KDNK

-

KUALA LUMPUR: Sektor kenderaan bermotor di Malaysia berada pada landasan untuk menyumbang sebanyak 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari.

Katanya, sektor ini menyumbang sebanyak 3.6 peratus atau RM40 bilion kepada nilai KDNK dalam tahun lepas.

“Industri ini mempunyai seramai 700,000 orang. Industri kenderaan bermotor di Malaysia telah diiktiraf oleh kerajaan sebagai penyumbang penting kepada ekonomi dan ia dijangka menokok sebanyak 10 peratus kepada KDNK pada tahun 2020,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Malam Anugerah Kereta Terbaik Malaysia 2017 (COTY 2017) serta Malaysia Autoshow 2017 di sini kelmarin.

Lebih banyak model akan dipamerkan pada Malaysia Autoshow 2017 yang akan diadakan mulai 9 hingga 12 Nov 2017 di tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang.

Madani berkata Malaysia Autoshow 2017, yang dianjurkan secara rasmi oleh MAI, merupakan pameran kereta yang paling dinantikan di Malaysia.

“Ia akan menampilka­n pelbagai aktiviti luaran dan ruang dalaman untuk pameran kereta yang terbesar, merangkumi tiga dewan,” katanya.

Katanya, jualan kenderaan motor di Malaysia sehingga Oktober 2017 berbanding Oktober tahun lepas telah naik sebanyak 1.7 peratus dan prestasi keseluruha­n tahun akan bergantung kepada jualan pada bulan November dan Disember.

“Kami berharap Autoshow 2017 akan meningkatk­an lagi jualan bagi mencapai sasaran sebanyak 590,000 unit untuk 2017. Kami berharap untuk berbuat lebih baik daripada itu,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia