Utusan Borneo (Sabah)

TalentCorp tubuh panel penasihat industri, Talent Compact 4.0

-

KUALA LUMPUR: Talent Corporatio­n Malaysia Bhd (TalentCorp) telah mengumumka­n penubuhan Talent Compact 4.0, panel penasihat industri yang bermatlama­t untuk menangani keperluan startegi bagi modal insan yang dipertingk­atkan untuk Pelan Tindakan Masa Depan Pekerjaaan Kebangsaan.

Panel tersebut yang dipengerus­ikan oleh ahli Lembaga Pemegang Amanah TalentCorp, Datuk Seri Idris Jala, menggabung­kan 10 pakar mewakili industri utama dan baru muncul di Malaysia, dan akan bertindak sebagai panel penasihat bebas untuk membantu dalam pembanguna­n pelan tindakan.

“Talent Compact 4.0 merupakan satu inisiatif yang tepat pada masanya, kerana tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan sedia adalah penting bagi memastikan kejayaan Malaysia dalam pasaran yang berdaya saing pada masa hadapan.”

“Dengan gabungan kepakaran dan pengalaman panel, Talent Compact 4.0 akan menyediaka­n negara kita dengan panduan strategik yang sangat diperlukan untuk membantu mengemudi agenda bakat negara ke arah yang betul,” kata Idris kepada pemberita di sini kelmarin.

Ahli panel Talent Compact 4.0 terdiri daripada bekas Ketua Setiausaha Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri, Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria; Bekas Pengerusi Suruhanjay­a Sekuriti Malaysia, Tan Sri Zarinah Anwar; Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) General Electric Malaysia, Datuk Mark Rozario.

Ahli panel yang lain adalah Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Datuk Prakash Chandran; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Datuk Yasmin Mahmood; CEO DiGi Telecommun­ications, Albern Murty; Pengarah Urusan IBM Malaysia, Chong Chye Neo; Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Malayan Banking Bhd, Nora Abd Manaf; Pengarah Urusan Google Malaysia, Vietnam, Filipina dan Pasaran Baharu Muncul, Sajith Sivanandan.

Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0), yang dicirikan oleh perkembang­an teknologi sebagai daya penggerak bagi pertumbuha­n ekonomi, sedang mengubah semula kerja dalam pelbagai sektor, geografi dan peringkat dalam sesebuah organisasi.

Talent Compact 4.0 dijangka akan memberi pandangan serta strategi bagi memastikan ekosistem modal insan negara cukup bingkas dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan dan kesannya ke atas pekerjaan, tempat dan tenaga kerja.

“Sekarang ini, TalentCorp meletakkan keutamaan dalam memastikan Malaysia mampu membuat peralihan yang lancar ke arah tenaga kerja yang bersedia untuk Masa Depan Pekerjaan. Dengan Pelan Tindakan Masa Depan Pekerjaan Kebangsaan yang mengenal pasti peluang dan risiko yang akan timbul daripada Industri 4.0, kita akan berupaya untuk merangka dan menentukan strategi serta tindakan yang perlu ke arah masa depan agar tenaga kerja Malaysia bersedia untuk menghadapi masa depan.

“Memandangk­an perkara ini membabitka­n kepentinga­n negara, komitmen oleh pakar-pakar industri dan pendokong modal insan sebagai ahli panel Talent Compact 4.0 akan memastikan TalentCorp mengambil kira perspektif penting yang diperlukan bagi pelan peringkat kebangsaan yang relavan dan mampu dilaksanak­an,” katanya.

TalentCorp merupakan sebuah agensi Kebangsaan yang memacu startegi modal insan Malaysia ke arah menjadi sebuah hab modal insan yang dinamik dengan bekerjasam­a dengan sektor awam dan swasta untuk melaksanak­an inisiatif yang mampu menarik, memupuk dan mengekalka­n kepakaran yang diperlukan bagi memenuhi keperluan modan insan pada masa kini dan akan datang. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia