69 kakitangan LKIM wilayah tengah angkat sumpah, tandatangani IBR
SIBU: Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kali kedua di Sarawak berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di sini pada Isnin.
Seramai 69 kakitangan LKIM dari wilayah tengah Sarawak mengangkat sumpah dan menandatangani IBR sebagai tanda sokongan membanteras rasuah dalam kalangan kakitangan awam.
Kakitangan terlibat adalah LKIM Mukah II iaitu seramai 36 kakitangan, Pelabuhan Ikan Tanjung Manis (14) dan seorang daripada Majlis Latihan Pertanian Negara (NATC) Tanjung Manis.
Majlis itu disaksikan Ketua Cawangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sibu Jutim Nyagam mewakili Pengarah SPRM Sarawak dan Pengarah LKIM Negeri Kusuadi Sallih.
Berucap pada majlis itu, Kusuadi berkata IBR peringkat negeri untuk jabatan itu diadakan pada 5 Oktober lalu di mana 100 pegawai dan kakitangan dari Kuching dan sekitarnya turut hadir.
“Oleh itu, pada IBR hari ini saya berharap kakitangan L K I M wilayah tengah Sarawak bertindak lebih profesional dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah diberikan,” katanya.
Terdahulu, ceramah antirasuah disampaikan oleh Jutim.
Kusuadi menambah, IBR seterusnya diadakan di Miri pada Disember ini iaitu melibatkan 65 anggota LKIM wilayah utara iaitu Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas.
Beliau juga menasihati kakitangan supaya berhatihati apabila membuat tuntutan elaun luar mereka.
Selain itu, beliau mengingatkan kakitangan LKIM bahawa Pengerusi LKIM Datuk Seri Irmohizan Ibrahim merupakan salah seorang anggota Jawatankuasa Khas Rasuah SPRM.
Sementara itu, menerusi teks ucapan Ketua Pengarah LKIM Datuk M Saedon Ab Majid dibacakan oleh Kusuadi, beliau berkata salah satu formula kejayaan organisasi adalah faktor integriti.
“Sehubungan itu, program IBR dianjurkan Unit Integriti LKIM ini pastinya meningkatkan tahap kesedaran dan menanam nilai antirasuah dalam kalangan kakitangan LKIM seterusnya meningkatkan sistem penyampaian,” katanya.