Utusan Borneo (Sabah)

Masyarakat disaran rebut peluang menabung dalam SSPN-i Plus

-

SEREMBAN: Masyarakat disaran merebut peluang membuka atau menambah simpanan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional-i Plus (SSPN-i Plus) kerana ia pilihan tabung pendidikan terbaik.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Mastura Mohd Khalid berkata dengan penabungan seawal usia kanak-kanak, graduan akan datang hanya mempunyai hutang pendidikan yang minimum dan kurang membebanka­n mereka.

“Simpanan pendidikan yang berterusan melalui SSPN-i dan SSPN-i Plus akan memberikan peluang cerah untuk anak-anak melanjutka­n pelajaran tanpa menghadapi kekangan kewangan.

“Hingga 30 Sept lepas, sejumlah 3.1 juta akaun dibuka dengan jumlah deposit sebanyak RM2.94 bilion,” katanya pada majlis penyampaia­n hadiah cabutan bulanan 20 tahun PTPTN di Sekolah Kebangsaan (SK) King George V di sini, pada Khamis.

Katanya bagi menarik minat dan galakan untuk menabung, PTPTN turut menyediaka­n cabutan hadiah kepada pendeposit yang membuka atau menambah dalam akaun SSPN-i Plus melalui Cabutan WOW! 20 tahun PTPTN yang menyediaka­n lebih 2,500 hadiah bernilai RM500,000.

Mastura berkata Cabutan WOW! 20 tahun PTPTN merangkumi cabutan bulanan dan istimewa yang diadakan sempena ulang tahun ke-20 penubuhann­ya.

“Oleh itu, semua lapisan masyarakat perlu merebut peluang ini yang mana melalui cabutan ini, pendeposit SSPN-i Plus layak memenangi hadiah utama cabutan istimewa RM100,000 serta hadiah utama cabutan bulanan sebanyak RM10,000 pada setiap bulan.

“Ibu bapa yang mempunyai anak Tahun 1 pada tahun ini diminta supaya membuka akaun atau membuat tambahan simpanan sama ada dalam akaun SSPNi atau SSPN-i Plus dan akan berpeluang memenangi hadiah RM10,000 pada setiap bulan, yang akan tamat 31 Dis ini,” katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh membuka akaun SSPNi Plus pada bila-bila masa dengan mudah iaitu secara dalam talian melalui www. lovesspn.com.

Pada majlis itu, murid Tahun 1 SK King George V Kamal Irfan Aqeef Kamal Rashdi dari Taman Zaiton Indah di sini memenangi RM10,000 iaitu hadiah pertama cabutan bulanan 20 tahun PTPTN bagi bulan September.

Kamal Irfan Aqeef ditemani ibunya Norjinda Mohd Danial, 39, pada majlis penyampaia­n hadiah itu.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia