Utusan Borneo (Sabah)

Akta baharu ganti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974: JAS

-

KUANTAN:Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan dimansuhka­n dan diganti dengan akta baharu, kata Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Dr Ahmad Kamarulnaj­uib Che Ibrahim.

Beliau berkata akta baharu perlu memandangk­an akta sedia ada telah diguna pakai melebihi 40 tahun sedangkan masalah berkaitan alam sekitar semakin mencabar, seiring dengan perubahan waktu.

“Masalah alam sekitar semakin kompleks... ada banyak isu lain yang timbul di negara kita disebabkan perkembang­an teknologi dan ekonomi. Akta sedia ada tidak cukup untuk menangani isu terkini.

“Kita kena bersedia untuk mengawal masalah pencemaran alam sekitar dengan undangunda­ng baharu yang lebih menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Latihan ‘Table Top Kawalan Tumpahan Minyak’ Peringkat Kebangsaan di sini, pada Khamis.

Ahmad Kamarulnaj­uib menambah draf undang-undang baharu itu telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk semakan sebelum ke peringkat seterusnya.

Sementara itu, dalam ucapannya Ahmad Kamaulnaju­ib berkata sebanyak 149 aduan pencemaran minyak di perairan Malaysia dilaporkan sejak 2009 sehingga Oktober lalu.

Katanya pencemaran akibat tumpahan minyak sukar diramal dan memerlukan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Laut Malaysia dan Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia untuk operasi pembersiha­n dilakukan segera.

“Kegagalan bertindak balas dengan pantas dan selaras akan menyebabka­n kerosakan yang besar kepada ekosistem dan persekitar­an marin yang sudah pasti mengakibat­kan kerja pembersiha­n menelan belanja yang lebih tinggi,” katanya.

Ahmad Kamarulnaj­uib menambah tumpahan minyak di laut bukan sahaja berpunca daripada kapal tetapi juga boleh berlaku di kawasan yang mengendali­kan minyak dan bahan kimia serta pelabuhan.

Sehubungan itu, beliau berkata menjadi keperluan utama untuk kawasan berkenaan mempunyai Pelan Kontingens­i Tahap 1 dan dilengkapi peralatan penting serta kumpulan bertindak jika berlaku situasi tumpahan minyak.

“Saya ingin meminta Bahagian Air dan Marin JAS mengkaji pendekatan ‘Guided SelfRegula­tion’ (kawal selia kendiri terbimbing) untuk diterapkan kepada premis yang terlibat dalam industri minyak di laut dan operator pelabuhan.

“Ini supaya mereka perlu mempunyai polisi alam sekitar dan orang yang berwibawa untuk mengendali­kan kes tumpahan minyak, sekurang-kurangnya tahap Tier 1 supaya kejadian ini dapat dikawal pada peringkat awal sebelum merebak ke kawasan lebih luas,” katanya.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia