Utusan Borneo (Sabah)

Suami isteri ditangkap ketika edar dadah

-

IPOH: Sepasang suami isteri yang baru menimang cahaya mata mungkin berdepan hukuman mati apabila mereka ditahan sedang mengedar dadah di Bandar Seri Iskandar, kira-kira 40 kilometer dari sini, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak ACP R. Ravi Chandaran berkata dalam operasi oleh sepasukan pegawai dan anggota JSJN Ibu Pejabat Kontinjen Perak kirakira 9.15 malam itu, polis merampas 1.816 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM45,000 daripada pasangan tersebut.

Beliau berkata suspek yang masing-masing berumur 42 dan 39 tahun terbabit dipercayai telah menjalanka­n kegiatan pengedaran dadah di daerah Perak Tengah selama hampir setahun dan dijejaki polis sejak enam bulan lalu.

“Hasil semakan mendapati suspek lelaki bekerja sebagai pencuci kereta manakala isterinya tidak bekerja dan mempunyai seorang anak berusia dua bulan.

“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian air kencing didapati negatif daripada sebarang jenis dadah,” katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata polis sedang menjalanka­n siasatan lanjut termasuk mengenal pasti sama ada si isteri turut terlibat sama dalam kegiatan itu selain mengesan suspek lain dalam sindiket.

Kedua-duanya direman tujuh hari sehingga 14 Nov ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntu­kkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan, katanya.

Mengenai aktiviti penyalahgu­naan dadah di Perak, Ravi Chandaran berkata walaupun terkawal ia masih dalam keadaan membimbang­kan.

Beliau berkata bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 6,802 tangkapan berkaitan dadah dicatatkan, meningkat 17 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Nilai keseluruha­n rampasan dadah tahun ini sebanyak RM9.5 juta berbanding RM1.3 juta tahun lalu meningkat sebanyak 614 peratus atau RM8,148,892.3.

“Nilai sitaan harta menunjukka­n penurunan daripada RM7.8 juta tahun lalu kepada RM5.4 juta tahun ini, menurun sebanyak RM2,364,395.49 atau 30 peratus,” katanya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia