Utusan Borneo (Sabah)

Liga Super China: Cannavaro kembali ke pangkuan Guangzhou Evergrande

-

SHANGHAI, China: Pemenang Piala Dunia bersama Itali, Fabio Cannavaro, dilantik sebagai jurulatih kelab juara Liga Super China, Guangzhou Evergrande Khamis lepas dan kembali ke kelab yang melepaskan beliau pada 2015.

Bekas pemain kelab Juventus dan Real Madrid berusia 44 tahun itu, yang meletak jawatan sebagai jurulatih Tianjin Quanjian awal minggu ini, menandatan­gani kontrak lima tahun untuk menggantik­an Luiz Felipe Scolari.

Cannavaro dijangka akan meneruskan penguasaan Evergrande dalam Liga Super – dengan Sabtu lepas mereka memenangi kejuaraan liga buat kali ketujuh berturut-turut – dan membimbing kelab untuk memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara Asia buat kali ketiga.

Bercakap semasa pengenalan­nya sebagai jurulatih, pemilik kelab, Xu Jiayin, orang terkaya di China, berkata Cannavaro akan ditugaskan dengan hanya menurunkan pemain tempatan menjelang 2020.

Pada musim panas lepas, mereka kehilangan pemain tengah, Paulinho, yang berpindah ke Barcelona tetapi barisan pemain luar negara mereka masih termasuk tiga pemain dari Brazil dan seorang penyerang dari Colombia, Jackson Martinez.

“Saya terharu dan gembira untuk kembali ke sini, saya ada berkata saya akan kembali lagi suatu hari nanti,” kata Cannavaro ketika memberitah­u media.

“Saya teruja dengan rancangan Evergrande untuk beberapa tahun akan datang dan gembira untuk bekerjasam­a dengan kelab.” Cannavaro berkata beliau tidak sabar untuk membina pasukan dengan pemain bintang tempatan, sebahagian dari usaha oleh kerajaan China untuk memperbaik­i nasib pasukan kebangsaan dengan menggalakk­an pemain tempatan bermain di peringkat kelab.

“Saya pasti pemain dari Evergrande bukan hanya untuk Evergrande tetapi apa yang kami harap ialah mereka boleh menyumbang kepada pasukan kebangsaan,” kata Cannavaro.

Cannavaro, yang meletak jawatan sebagai jurulatih Tianjin, beberapa hari selepas membimbing kelab ke Liga Juara-Juara Asia buat kali pertama dalam sejarah kelab, pernah membimbing Evergrande selama tujuh bulan sehingga Jun 2015.

Tetapi beliau diganti oleh Scolari selepas apa yang beliau gambarkan ketika itu sebagai “penyelesai­an bersama” untuk menamatkan kontraknya.

Pemergian beliau pada 2015 itu mengecewak­an ramai penyokong Evergrande dan beliau meninggalk­an kelab yang ketika ini di tangga teratas liga dan ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia.

Bekas pemain pertahanan Itali, yang menjadi kapten ketika Itali muncul Piala Dunia 2006, pernah menjadi jurulatih seketika di Arab Saudi sebelum kembali ke China bersama Tianjin.

Beliau membimbing Tianjin naik ke Liga Super China dan kemudian ke tangga ketiga liga – dan playoff ke Liga Juara-Juara Asia – menewaskan Evergrande 2-1 pada hari terakhir musim Sabtu lepas.

Paulo Sousa menggantik­an Cannavaro di Tianjin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia