Duterte yakin Trump tidak akan bangkit isu hak asasi
MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte semalam berkata beliau pasti Donald Trump tidak akan membangkitkan isu hak asasi manmusia apabila mereka bertemu di Manila, selepas presiden Amerika Syarikat (AS) itu memuji perang dadahnya yang berdarah.
Trump tiba di ibu kota Filipina petang semalam untuk menghadiri sidang kemuncak dua hari dan kumpulan hak asasi manusia menggesanya menekan Duterte berhubung ribuan nyawa yang hilang dalam operasi kontroversi antidadah.
Duterte menyuarakan keyakinan ini tidak akan berlaku dan menyatakan Trump sudah memberikannya katakata galakan dalam pertemuan singkat pada acara sampingan satu lagi sidang kemuncak serantau di Vietnam kelmarin.
“Beliau menyebut sesuatu mengenai: ‘Anda tahu, anda menanganinya dengan sangat baik’,” kata Duterte kepada pemberita awal pagi semalam selepas beliau kembali ke Manila.
Beliau berkata Trump merujuk kepada usaha membanteras dadah selain kempen ketenteraan menentang penyokong Islamic State di selatan Filipina.
Apabila ditanya sama ada isu pembunuhan luar bidang kehaminan – yang menurut kumpulan hak asasi manusia berleluasa dalam perang dadah tersebut – akan dibincangkan atau tidak, Duterte berkata: “Saya pasti beliau tidak akan memnbangkitkannya.”
Duterte memenangi pilihan raya pada tahun lepas setelah berjanji untuk membasmi dadah dalam masyarakat denagn operasi luar biasa yang seterusnya mengorbankan 100,000 orang.
Sejak beliau memegang kuasa, polis dilaporkan sudah membunuh 3,967 orang dalam operasi tersebut.
Seramai 2,290 lagi sudah dibunuh dalam jenayah berkaitan dadah, manakala ribuan kematian lain masih belum selesai, menurut data kerajaan.
Ramai orang Filipina menyokong Duterte, kerana percaya beliau mengambil langkah perlu untuk membanteras jenayah, tetapi kumpulan hak asasi manusia memberi amaran beliau mungkin mendalangi jenayah kemanusiaan.
Amnesty International kelmarin menyeru kepada Trump untuk membangkitkan isu itu dengan Duterte, sama ada secara terbuka atau secara sulit. Kedua-dua pemimpin itu buat sementara waktu dijadual mengadakan rundingan empat mata pada hari ini (Isnin).
“AS mesti menggunakan pengaruh dan kelebihannya untuk mengetengahkan rekod Duterte berhubung hak asasi manusia,” kata pengarah Amnesty di Filipina, Jose Noel Olano.
“Beliau akan bertemu dengan lelaki dengan dasar yang bertanggungjawab bagi ribuan pembunuhan yang menyalahi undang-undang, termasuk puluhan kanak-kanak.”
Duterte, 72, pada tahun lepas melabel presiden AS ketika itu Barack Obama ‘anak pelacur’ kerana mengkritik perang dadah.
Hubungan antara keduadua neagra kemudian menjadi tegang, tetapi ia bertambah baik apabila Trump memberitahu Duterte dalam satu panggilan telefon pada April lalu bahawa beliau menjalankan “kerja hebat” dalam kempennya membanteras narkotik.
Duterte kerap menyatakan beliau tidak peduli mengenai hak asasi manusia dan pernah sekali menyebut beliau pasti gembira untuk menyembelih tiga juta penagih. — AFP