Kerajaan sedia prasarana sukan, riadah untuk manfaat masyarakat
SARIKEI: Agensi-agensi kerajaan sentiasa berikhtiar menyediakan prasarana sukan sama ada di peringkat bahagian mahupun daerah untuk manfaat masyarakat.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata melalui penyediaan kemudahan itu diharap masyarakat mampu memanfaatkannya.
Katanya, kerajaan berharap masyarakat mengoptimumkan penggunaan prasarana sukan dan menjadi tanggungjawab bersama menjaga kebersihan dan tidak menyerahkannya kepada pihak berkuasa semata-mata.
“Penyediaan kemudahan itu bertujuan menggalakkan aktiviti sukan dan beriadah agar tahap kesihatan dan kecergasan fizikal masyarakat sentiasa terjaga.
“Sukan rakyat juga boleh dijadikan medium yang menyumbang kepada perpaduan selain ikatan muhibah, toleransi dan kesefahaman.
“Selain itu, diharapkan karnival itu dijadikan asas penting dalam usaha mengintegrasikan pelbagai kaum kepada satu bangsa yang bersatu padu dan harmoni,” katanya pada perasmian Program Karnival Rakyat di Kompleks Sukan Intergrasi, Kampung Seberang Sarikei pada Jumaat.
Len Talif berkata, program itu landasan terbaik untuk kakitangan kerajaan, ahli persatuan dan penduduk menilai bakat dan kemampuan masing-masing dalam melakukan aktiviti.
“Diharapprogramsepertiini dapat membentuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat,” katanya.
Turut hadir Residen Bahagian Sarikei Mohamad Junaidi Mohidin dan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sarikei Kaunselor Awangku Ibrahim Awangku Hosain.