Sarawak perlu strategi tarik pelaburan bernilai tinggi
KUCHING: Sarawak perlu menggorak strategi menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor teknologi tinggi ke negeri ini supaya kekal berdaya saing.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tenggah Ali Hasan berkata Sarawak mempunyai tanah luas dengan sumber alam semulajadi banyak seperti minyak dan gas, kayu, kuasa hidro juga pasaran domestik kecil.
Justeru katanya, untuk Sarawak kekal berdaya saing, Sarawak perlu meneruskan strategi menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor teknologi tinggi, bukan industri kos rendah, teknologi rendah dan intensif buruh.
“Sepanjang sembilan tahun lalu, Sarawak disenaraikan antara empat destinasi pelaburan utama di Malaysia.
“Dalam tempoh dua tahun lalu, Sarawak naik ke kedudukan kedua 2015 dan kedudukan ketiga 2016.
“Pencapaian ini bukannya secara kebetulan tetapi hasil dari kepimpinan kuat kita, perancangan dan pelaksanaan yang baik oleh Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke66 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) di sini pada Jumaat.
Awang Tengah juga Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan menambah, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, Sarawak meluluskan pelaburan bernilai RM7.8 bilion.
“Ini termasuk cadangan projek keluli bernilai AS$3 bilion dan cadangan projek metanol bernilai AS$2 bilion di Bintulu serta projek copper foil (tembaga) di Kuching,” katanya.
Jelasnya, tarikan Sarawak sebagai detinasi pelaburan pilihan didorong kestabilan politik dan polisi mesra perniagaan termasuk keupayaan menyediakan infrastruktur moden, kuasa tarif air kompetitif, insentif cukai dan bukan cukai bagi menyokong pertumbuhan industri.