Utusan Borneo (Sabah)

Polis diserang sekumpulan lelaki warga China

-

KUALA LUMPUR:Polis terpaksa melepaskan empat das tembakan bagi mempertaha­nkan diri apabila diserang sekumpulan lelaki warga China ketika membuat pemeriksaa­n di Jalan Abraham Off Jalan Khoo Teik Ee di sini malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharudin Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, tujuh anggota pasukan rondaan cegah jenayah membuat pemeriksaa­n setelah menerima maklumat mengenai pekerja kontrak bermain judi di halaman rumah sebelum diserang kira-kira 30 lelaki.

“Keadaan tidak terkawal dan anggota dari Balai Tun H.S. Lee itu telah melepaskan empat das tembakan amaran untuk mempertaha­nkan diri namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.

Beliau berkata empat pasukan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) digerakkan ke lokasi kejadian untuk bantuan sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu.

Shaharudin berkata kumpulan lelaki China itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk didokument­asi setelah mendapati keadaan terkawal apabila beliau tiba di tempat kejadian. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia