Sepanyol belasah Costa Rica 5-0
MALAGA, Sepanyol: Prestasi memberangsangkan Sepanyol di bawah bimbingan Julen Lopetegui berterusan apabila David Silva menjaringkan dua gol ketika membelasah Costa Rica 5-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di sini Sabtu lepas.
Andres Iniesta, Jordi Alba dan Alvaro Morata juga menjaringkan gol untuk juara dunia 2010 itu.
Satu-satu perkara mengecewakan buat Sepanyol ialah pemain tempatan, Isco, terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan ketika diasak pertahanan Costa Rica, Kendal Watson. Pemain kelab Real Madrid, yang berasal dari Malaga, beraksi cemerlang sepanjang dua musim di Malaga sebelum berpindah ke Madrid dan menerima tepukan hormat dari penonton ketika meninggalkan padang.
Lopetegui memilih untuk merehatkan penjaga gol utamanya, David de Gea, dan memberikan penampilan sulung buat penjaga gol kelab Athletic Bilbao, Kepa Arrizabalaga.
Silva, Isco dan Iniesta bergandingan cantik sepanjang perlawanan dengan Silva mengumpan bola kepada Alba untuk membuka jaringan seawal minit keenam untuk menewaskan penjaga gol simpanan Costa Rica, Danny Carvajal.
Carvajal menggantikan penjaga gol Keylor Navas, yang beraksi untuk kelab Real Madrid kerana kecederaan.
Beliau mengharungi malam yang malang apabila gagal menangkap kemas rembatan Silva dan bola muntah disempurnakan Morata untuk gol kedua pada pertengahan separuh masa kedua.
Silva menjaringkan gol ketiga pada awal separuh masa kedua sebelum Iniesta dan Silva melengkapkan jaringan pada separuh masa kedua.
Sepanyol akan bertandang ke tuan rumah Piala Dunia 2018, Rusia, pada satu lagi perlawanan persahabatan Selasa ini. – AFP