Usahawan digesa rebut peluang disediakan kerajaan
TAWAU: Usahawan muda di negeri ini diminta merebut pelbagai peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu mengembangkan perniagaan.
Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat berkata, kerajaan memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk membantu usahawan, khususnya bumiputera untuk mengembangkan perusahaan.
Justeru katanya, usahawan muda perlu mengetahui bantuan yang disediakan oleh kerajaan dan maklumat berkaitan yang dapat membantu mereka.
“Kita mempunyai banyak agensi yang ditubuhkan untuk membantu para usahawan memperluaskan perusahaan mereka iaitu sama ada dari segi penyediaan modal, pinjaman atau peralatan,” katanya berucap pada majlis penutupan dan penyampaian sijil Kursus Teknikal Belia Tani Akuakultur Peringkat Negeri Sabah 2017, Penternakan Ikan Dalam Sangkar di Taman Bukit Tawau pada Ahad.
Hamisa yang juga Adun Tanjong Batu berkata, kursus itu merupakan amalan biasa bagi mereka yang berminat tetapi yang paling penting para peserta perlulah turun padang bagi memastikan pengalaman dalam kursus itu dimanfaatkan sebagai bahan perniagaan yang boleh dimajukan.