Mimi Nuratifah cekal timba ilmu, ingin curah bakti
Ingin mencurah bakti kepada anak bangsa
NGIN mencurah bakti kepada anak bangsa, graduan Hubungan Antarabangsa UMS, Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mimi Nuratifah Ahmad Daud, 23, terus cekal menimba ilmu.
Anak kepada pasangan Guru Besar SK Pekan Kinarut Ahmad Daud Ismail Mokhtar, 52, dan ibunya, Nurul Farhanah Abdullah, guru di SMK Putatan itu mencapai kejayaan Purata Nilai Grid Kumulatif (PNGK) 3.80 dan menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) pada Majlis Istiadat Konvokesyen UMS Ke-19 baru-baru ini.
“Saya mempunyai banyak cita-cita sejak kecil tetapi sejak Tingkatan Enam lagi saya sudah mula meletakkan sasaran sebagai pensyarah di UMS setelah tamat pengajian nanti.
“Saya memilihnya sebagai penghargaan kepada universiti yang telah banyak memberi saya ilmu dan mencurah bakti pula kepada anak-anak bangsa di Sabah,” katanya penuh yakin.
Malah, anak bongsu daripada dua beradik itu, kini masih meneruskan pengajiannya di peringkat sarjana di The Institute of Diplomacy and Foreign Relations (IDFR) di Kuala Lumpur.
Berbeza dengan rakannya, Aaron Roy Thurairajah, 24, graduan Fakulti Perubatan UMS yang berhasrat meneruskan pengajiannya dalam bidang perubatan di peringkat lebih tinggi dan berjasa kepada negara apabila tiba masanya kelak.
Anak kepada pegawai polis itu turut mengakui kejayaan yang diperoleh adalah hasil sokongan ibu bapa, pensyarah dan kawan-kawan sepengajian.
“Bidang perubatan bukanlah pengajian yang mudah, ia memerlukan usaha dan keyakinan yang tinggi sepanjang tempoh pengajian.
“Syukur kepada Tuhan, berkat kerjasama rakanrakan dan pensyarah serta doa ibu bapa akhirnya saya diberikan Anugerah Pingat Emas Canselor,” kongsinya.
Mereka ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kepada Graduan Cemerlang yang disempurnakan Penasihat Yayasan Nur Jauhar Toh Puan Dr Norlidah Tan Sri R.M Jasni di Istana Negeri, petang Jumaat turut mengucapkan terima kasih kepada yayasan tersebut dan menyifatkannya sebagai pembakar semangat agar berusaha lebih tekun.
Turut menerima hadiah pada majlis tersebut adalah Penerima Pingat Emas Alumni UMS Nursakinah Najwa Suhaimi; Hadiah Zainal Abidin Bador Kelly Jauding dan Hadiah Tun Zaki Tun Azmi Vivian Pun Pui Yean dan Hidayati Asrah.
Bagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Bukan Bumiputera), Tan Chia Li dan penerima Emas Naib Canselor, Wai Chee San diwakilkan kepada dekan masing-masing. -Artikel Jabatan Penerangan