Pasangan suami isteri kongsi cabaran tamatkan pengajian PhD
KEGEMBIRAAN jelas terpancar di wajah Dr Norsimah Dasan dan suaminya Dr Mohd Mahadzir Rahimi Mohamed Nawi apabila berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Namun di sebalik senyuman kegembiraan yang terukir itu, pasangan suami isteri yang sama-sama bergraduasi sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-19 ini berdepan pelbagai cabaran sepanjang empat tahun pengajian.
Meninggalkan empat anak termasuk anak yang baharu lahir demi menamatkan penyelidikan bukan sesuatu yang mudah bagi Norsimah, 45.
Berdepan alahan semasa mengandung pada tahun kedua pengajian adalah detik sukar yang dihadapi. Berkat dorongan suami dan penyelia, segala kesukaran ditempuh dengan baik.
“Saya dan suami terpaksa bergilir-gilir untuk meluangkan masa bersama anak dan menjalankan penyelidikan. Jika saya perlu keluar melakukan penyelidikan suami akan menjaga empat anak kami dan begitulah sebaliknya.
“Sekiranya kedua-dua kami sibuk dengan penyelidikan, anak sulung perempuan saya yang berusia 16 tahun akan menjaga adik-adiknya,” katanya ketika ditemui semasa Sidang Pertama Majlis Konvokesyen berkenaan, di sini pada Sabtu.
Norsimah berkata pengalaman yang paling sukar dilupakan sepanjang menjalankan penyelidikan adalah apabila beliau terpaksa tinggal di asrama perempuan sebuah universiti.
“Ketika itu cuti semester dan saya seorang sahaja yang tinggal di asrama berkenaan selama seminggu. Macammacam perkara yang berlaku tetapi, demi untuk menyiapkan kajian saya perlu menjadi kuatkan semangat,” jelasnya.
Norsimah yang dipaksa oleh suaminya untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD (Psikologi). Beliau akhirnya akur dan melakukan penyelidikan tentang tingkah laku seksual berisiko.
Katanya, ijazah pertamanya adalah dalam bidang Komunikasi di Universiti Sains Malaysia.
Bekas kakitangan Jabatan Penyiaran Malaysia di Angkasapuri Kuala Lumpur ini memilih untuk bertukar kerjaya apabila melihat bagaimana bidang pendidikan itu mampu mempengaruhi tingkah laku sosial remaja.
“Saya ingin membantu menyelesaikan kecelaruan sosial yang berlaku pada masa ini. Sebagai pendidik, kita mampu menyumbang kepada perubahan tingkah laku remaja. Jadi saya ingin memainkan peranan sebagai penyampai idea dan pembantu untuk mengubah kecelaruan sosial yang berlaku,” katanya.
Wanita yang berasal dari Kampung Melalin Tuaran ini adalah seorang tutor di Open University Malaysia (OUM).
Sementara itu Mahadzir berkata, jika ingin mengecapi kejayaan seseorang itu perlu memaksa diri untuk belajar.
“Kejayaan itu adalah satu paksaan. Jika terasa ingin menyambung pengajian terus sambung belajar dan jangan ditangguhkan. Jika kita bertangguh, sampai bila-bila pun kita tidak akan sambung pengajian,” katanya.
Menurut, Mahadzir cabaran yang paling sukar sepanjang pengajian adalah apabila dia dikehendaki menjawab soalan lisan selama 80 minit ketika selesai membentangkan hasil penyelidikannya.
Pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kurikulum & Pengajaran ini berkata dia terpaksa mengikat perut semasa melakukan kajian di seluruh universiti di Malaysia.
Memandangkan dia dan isteri cuti belajar, kewangan yang ada perlu digunakan sebaiknya, kata guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Mohamad Fuad Stephens Sandakan.