Suspek kes samun wartawan diburu polis
PENAMPANG: Tiga suspek kes samun melibatkan wartawan The New Straits Times (NST) Sabah Kristy Inus kini dalam buruan polis.
Mangsa yang juga Staf Koresponden NST Sabah disamun selepas keluar dari pejabatnya kira-kira jam 7.30 malam pada Sabtu di Tropicana Commercial Centre Jalan Pintas di sini.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Rosley Hobden berkata, pihaknya melancarkan gerakan memburu kesemua suspek selepas mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini malam Sabtu.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian menunjukkan kesemua suspek adalah lelaki.
“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat dan usaha mengesan suspek akan diteruskan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Sementara itu, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan ketika ditemui pada Ahad berkata, sebelum kejadian beliau sedang menyimpan barang di bahagian belakang keretanya.
Tiba-tiba seorang lelaki datang menghampiri dari arah kiri dan cuba merampas beg di tangannya sambil mengacukan sesuatu di belakangnya.
Kristy berkata, suspek sempat mengugut akan mencederakannya dengan senjata tajam.
Risau berlaku sesuatu yang membahayakan dirinya, mangsa melepaskan beg tangannya dan berundur ke belakang sebelum kesemua suspek melarikan diri.
Mangsa kehilangan sejumlah wang tunai, kad pengenalan diri, lesen memandu, kad kredit dan kad debit Maybank, serta dua telefon pintar jenama Huawei dan Samsung.
Beliau sempat menjerit meminta tolong bagaimanapun tiada orang di sekitar kawasan yang menyedari kejadian itu.
Selepas kesemua suspek melarikan diri, beliau segera memberitahu rakan sekerja yang masih berada di dalam pejabat dan terus menghubungi polis.