Bajet 2018 utamakan rakyat luar bandar
TUNGKU:Bajet2018kerajaan negeri yang dibentangkan pada Jumaat jelas mahu mensejahterakan rakyat di luar bandar.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tungku Abdul Momen Angchai berkata melalui peruntukan RM422.5 juta, program-program yang bersifat ‘people-oriented’ dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat di seluruh negeri dapat direalisasikan.
Menurutnya, ia bertepatan dengan keperluan rakyat terutama di kawasan luar bandar terutama di Tungku.
Katanya, Mini Estet Sejahtera, Ladang-ladang PPRT, Program Peningkatan Ekonomi Setempat, Program Kampung Sejahtera, projekprojek pembangunan kecil dapat diteruskan dengan nilai peruntukan RM33.5 juta.
“Dengan peruntukan RM15.6 juta, program pembangunan usahawan desa, pelancongan desa, latihan keusahawanan dan pinjaman mikro kredit dapat memperkukuhkan lagi usaha penduduk kampung meningkatkan pendapatan ekonomi mereka,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Silam berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Taklimat Jalinan Rakyat (JR) dan JR Plus Pusat Daerah Mengundi Tungku di Dewan Kampung Nala, di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Wanita Umno Silam Mizma Appehdullah, Ketua Penyelaras Umno Tungku Roslan Hamid, Ketua Pusat Daerah Mengundi Tungku Shazely Naga dan Ketua Daerah Tungku Kamaruddin Hamid.
Momen mengajak agar rakyat membuka mata pada kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno demi memperjuangkan nasib rakyat.
“Kita janganlah terpengaruh dengan laungan janji pembangkang yang mahu merubah Sabah kerana jelas kerajaan negeri bersungguhsungguh melaksanakan perubahan dengan mementingkan keperluan rakyat.
“Kini sudah jelas negeri Sabah semakin berubah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman dan sudah tentu perubahan ini akan dikecapi di semua peringkat akar umbi,” katanya.
Pada Jumaat, Musa membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM4.1 bilion sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dari 5 hingga 5.5 peratus dan anggaran hasil sebanyak RM4.169 bilion pada tahun depan.
Bajet bertema ‘Memperkasakan Ekonomi, Mensejahterakan Rakyat’ itu mencatat lebihan RM64.89 juta, menjadikannya bajet lebihan keempat dibentangkan kerajaan negeri sejak tahun 2015.