Lebih ramai belia digalak ceburi bidang perniagaan
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang perniagaan, dengan menyediakan program latihan dan modal untuk membantu mereka.
Menteri berkenaan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata antara program tersebut ialah Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang dikendalikan SME Corp Malaysia.
“Dalam Bajet 2018, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumum peruntukan sebanyak RM40 juta bagi menggandakan program TUBE yangmelibatkangolonganbelia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hari MITI 2017 di sini, Ahad.
Mustapa berkata tahun ini, seramai 1,000 belia di seluruh negara mendapat bimbingan melalui program TUBE dan 2,000 orang disasarkan berbuat demikian tahun depan.
Beliau juga berkata MITI melalui agensinya sedang mendedahkan pelbagai peluang kepada usahawan terutama bumiputera untuk meningkatkan daya saing mereka dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Saya serta pegawai-pegawai MITI akan turun padang untuk meninjau perusahaan yang dilaksanakan oleh usahawan bagi mengetahui secara lebih dekat cabaran yang mereka hadapi serta membantu mereka meningkatkan pencapaian perniagaan,” katanya.
Mustapa berkata pihaknya juga akan membantu usahawan PKS tempatan untuk menggunakan teknologi digital bagi menerokai pasaran global termasuk melalui program edagang.
Bersempena Hari MITI 2017 itu, sebanyak 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 27 syarikat tempatan dan asing kepada pencari kerja terutama lepasan sekolah menengah dan graduan khususnya di Kelantan. -Bernama