K’jaan alukan cadangan bermanfaat
KOTA KINABALU: Kerajaan sentiasa mengalualukan apa sahaja pendapat atau cadangan yang memberi manfaat kepada rakyat dan negeri ini asalkan ia mengikut undang-undang dan perlembagaan sedia ada.
Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman berkata, ia termasuklah hak dan kepentingan rakyat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi perhatian utama sepanjang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula Jumaat lepas.
“Kita di pihak kerajaan telahpun memberikan penjelasan mengenai pendirian kita dan fakta yang jelas berkaitan langkah yang sudah diambil dan menjawab apa juga persoalan berkaitan yang dibangkitkan.
“Kita tetap membela, memperjuang dan mempertahankan apa yang termaktub dan telah dipersetujui. Pendirian kita dalam perkara ini adalah jelas,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima DUN, di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, Musa mengingatkan semua pihak termasuk pembangkang supaya tidak mempolitikkan perkara itu, sebaliknya menerima hakikat bahawa kerajaan sudah banyak memperjuangkan pembangunan dan kemajuan demi rakyat di peringkat Pusat dan negeri.
Beliau juga berkata kedudukan ekonomi dan kewangan tahun ini yang mengalami bajet lebihan membuktikan kecekapan pengurusan perbelanjaan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Katanya, pencapaian yang kerap berlaku itu perlu diperjelaskan kepada rakyat bagi memberi gambaran sebenar agar mereka tidak terpengaruh dengan tohmahan pihak tertentu yang ingin memutarbelit demi kepentingan sendiri.
Mengenai agenda yang ditetapkan dalam Bajet Negeri 2018, beliau berharap agar semua pihak terus bersatu padu, bekerjasama, berganding bahu bagi memastikan perancangan dapat disalur dan dilaksanakan dengan cekap demi manfaat semua rakyat.