Sempadan Tebedu-Entikong akan dibuka semula
Selepas BCA dan BTA diperbaharui serta dimeterai Malaysia, Indonesia
KUCHING: Malaysia dan Indonesia secara prinsipnya bersetuju supaya kawasan sempadan Tebedu (Sarawak, Malaysia) dan Entikong (Kalimantan Barat, Indonesia) dibuka semula selepas dua perjanjian dimeterai tidak lama lagi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sempadan Tebedu-Entikong akan dibuka semula selepas Perjanjian Rentas Sempadan (BCA) dan Perjanjian Perdagangan Sempadan (BTA) diperbaharui serta dimeterai kedua-dua negara.
“Secara prinsipnya Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan saya telah bersetuju agar kawasan sempadan Tebedu-Entikong dibuka semula setelah BCA dan BTA diselesai dengan diputuskan bersama.
“Kita berharap ia dapat disegerakan kerana pembukaan kawasan sempadan ini akan memberi banyak manfaat khususnya kepada komuniti yang berada di sekitar kawasan sempadan kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Jokowi selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan Tinggi Islam antara kedua-dua negara sempena Rundingan Tahunan Ke-12 Malaysia-Indonesia di sini, Rabu.
Najib berkata, terdapat permintaan yang sama di kawasan sempadan Sabah dan Kalimantan yang sama juga tertakluk kepada BCA dan BTA yang akan diputuskan tidak lama lagi.
“Berhubung perkara yang sama, kita juga telah bersetuju supaya diadakan kajian bersama antara Malaysia dan Indonesia mengenai pontensi kawasan persempadanan.
“Ia bagi membolehkan kita membangunkan kawasan sempadan secara bersepadu agar memberi manfaat kepada Malaysia dan Indonesia, yang melibatkan soal pertanian bernilai tinggi selain bidang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sebagainya dibangunkan,” tegasnya.
Najib pada masa yang sama turut melahirkan penghargaan serta terima kasih kepada Kerajaan Indonesia serta presidennya atas keprihatinan yang mengambil serius menangani masalah jerebu.
Katanya tahun ini, dua tahun Malaysia tidak mengalami masalah jerebu dan ia amat melegakan semua rakyat Malaysia khasnya di Sarawak.
“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada Presiden dan Kerajaan Indonesia kerana sudah dua tahun Malaysia tidak mengalami masalah jerebu dan terima kasih atas perhatian serius terhadap masalah ini oleh Indonesia, yang banyak melegakan rakyat Malaysia termasuk di Sarawak,” kata beliau.
Secara prinsipnya Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan saya telah bersetuju agar kawasan sempadan Tebedu-Entikong dibuka semula setelah BCA dan BTA diselesai dengan diputuskan bersama.
DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK Perdana Menteri