Pusingan kalah mati bermula
Bola Sepak Piala Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan 2017
KOTA KINABALU: Lapan perlawanan pusingan kalah mati 16 pasukan terakhir Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan 2017 akan berlangsung di padang sintetik Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK) penghujung minggu ini.
Ia dimulai dengan dua perlawanan hari ini di mana perlawanan pertama mempertemukan dua pasukan Kota Belud antara juara Kumpulan E, Putra United dan tempat ketiga Kumpulan B, Adisson FC.
Perlawanan kedua pula menyaksikan pertembungan antara juara Kumpulan B, Barracuda FC dari Pensiangan dan tempat ketiga Kumpulan A, Likas United FC II.
Sepak mula perlawanan pertama adalah pada jam 7.00 malam manakala perlawanan kedua pada jam 9.00 malam.
Masing-masing tiga perlawanan lagi akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad.
Perlawanan pada Sabtu adalah Darau FC menentang The Blues FC Kota Kinabalu, EMD FT Kota Kinabalu menentang Mix Edu United Tuaran dan Kelab Reka DBKK menentang AMV FC Kimanis.
Pada Ahad, Juta FC Keningau menentang Simfield FC Kota Kinabalu, Terra Queen FC Kota Kinabalu menentang Racing Athletic FC Kota Kinabalu dan Unida CF Kota Kinabalu menentang Teambau FC Kota Belud.
Pengerusi penganjur, Mohd MizanRashidi(gambar)berkata, perlawanan itu ditentukan menerusi undian yan diadakan di sini pada Selasa lalu.
Pasukan yang layak ke pusingan kalah mati itu terdiri daripada tiga pasukan teratas setiap kumpulan dan satu pasukan tempat keempat terbaik pada saingan peringkat kumpulan.
Kejohanan julung kali anjuran Titingan Football Club (TFC) dengan kerjasama Real Event, Mizanis Sports Boutique (MSB), Yunus Property Consultant Sdn Bhd dan Panzer itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM29,000 di samping piala dan medal.
Juara akan menerima RM12,000, dan naib juara RM7,000 manakala dua pasukan yang tewas di separuh akhir masing-masing menerima RM3,000 sementara pasukan yang tewas di suku akhir menerima RM1,000.
Kejohanan yang telah berlangsung sejak awal bulan lalu itu disertai 23 pasukan.