Perkongsian amalan terbaik
Eksplorasi Pendidikan Semporna di Sandakan berjaya capai matlamat
KEMAHIRAN Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang menjadi amalan terbaik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Fajar, Sandakan mendorong sekumpulan pentadbir sekolah menengah di Semporna mengadakan lawatan di sekolah berkenaan.
Program lawatan yang dinamakan Semporna Education Exploration (SEE) atau Eksplorasi Pendidikan Semporna (EPS) itu dilaksanakan sebagai penanda aras dan perkongsian maklumat tentang pelaksanaan KBAT dalam pendidikan.
Lapan sekolah menengah di Semporna yang terlibat menjayakan program EPS itu ialah SMK Datuk Panglima Abdullah, SMK Datuk Haji Panglima Jakarullah, SMK Bugaya, SMK Bugaya 2, SMK Kabogan, SMK Kabogan 2, SMK Tagasan dan SMK Bum Bum.
Eksplorasi Pendidikan yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Persatuan Pengetua-Pengetua Sabah Cawangan Semporna di bawah kepimpinan Pengetua SMK Datuk Panglima Abdullah Abdul Aziz Haji Abdul Rashid.
Abdul Aziz yang juga pengerusi persatuan itu berkata, seramai 60 orang menyertai eksplorasi itu yang terdiri daripada para pengetua, penolong kanan dan ketua bidang serta dua pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Semporna.
“SEE yang kami lakukan ini adalah untuk melihat amalan terbaik di PPD Sandakan untuk kami ap-
(kanan) menerima cenderamata disampaikan Abd Said.
likasikan di sekolah kami di Semporna,” katanya semasa Majlis Makan Malam anjuran PPD Sandakan yang diadakan di SMK Elopura pada hari pertama eksplorasi itu.
Dalam majlis itu, rombongan SEE turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan oleh pelajar Sekolah Seni Malaysia (SeSM) Cawangan Sabah di Sandakan yang kini menumpang sementara di bangunan SMK Elopura Sandakan.
Malah, rombongan SEE turut membuat penampilan khas melalui persembahan tarian igal-igal serta menyumbangkan beberapa lagu dan paling mencuri tumpuan ialah persembahan Abdul Aziz yang mendendangkan lagu evergreen, My Way.
Pada hari kedua, Kumpulan Satu yang diketuai oleh Abdul Said Haji Mahid (Pengetua SMK Kabogan) dan Yang Mulia Tengku Nazri Tengku Anang (Pengetua SMK Tagasan) telah melawat dan menanda aras di SMK Taman Fajar.
Ketibaan rombongan Kumpulan 1 disambut mesra Pengetua SMK Taman Fajar Munah Haji Nasri dan barisan pentadbir sekolah dan seterusnya diberikan teklimat oleh Munah tentang sejarah sekolah, pencapaian, kebitaraan, pelaksanaan KBAT dan sebagainya.
Proses penanda arasan dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran SMKTF berkaitan amalan KBAT dan juga pelbagai pencapaian sekolah.
Ia membuatkan ahli Kumpulan 1 SEE teruja meneroka setiap sudut yang terdapat di SMK Taman Fajar, bukan sahaja amalan KBAT tetapi juga berkongsi pelbagai informasi pendidikan termasuklah peranan dan sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan juga Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK).
“Amat menarik dan sebenarnya kita telah melakukannya di Semporna. Cuma ia tidak menyeluruh dan berterusan,” kata Hajah Rusnah Haji Apdal, Penyelia Petang SMK Bum Bum ketika membuat lawatan ke bilik-bilik darjah.
Perkara itu turut diakui oleh Cikgu Noralam Osman, Ketua Bidang Bahasa SMK Haji Panglima Jakarullah dan Cikgu Sariah Nasiruddin. “Insyallah, saya akan melaksanakan Program KBAT dalam PJK selepas ini,” kata Cikgu Halijah Haji Baginda, Ketua Bidang Kemanusiaan SMK Datuk Panglima Abdullah (SDPA) kepada Abdul Kadir Haji Mohd Bullat selaku Penolong Kanan Pentadbiran SDPA semasa jamuan ringan yang disediakan oleh SMK
Taman Fajar.
Dalam pada itu, terdapat tiga kumpulan yang telah melakukan penanda arasan di beberapa sekolah di Sandakan iaitu Kumpulan 2 di SMK Sandakan, SMK Perempuan (Kumpulan 3) dan di SMK Muhibah, Sandakan (Kumpulan 4).
Sekolah-sekolah berkenaan juga mempunyai amalan terbaik yang amat praktikal untuk dikongsi dan dilaksanakan di sekolahsekolah di Semporna.
“Pendidikan alam sekitar amat menarik untuk kita laksanakan di SDPA memandangkan sekolah ini juga telah berjaya mendapat Anugerah Serasi dan kini mengamalkan EKSA,” kata Cikgu Rone Mohammad, Ketua Bidang Sains selepas menanda aras di SMK Muhibbah Sandakan yang dikenali sebagai Eco Schools dan telah menerima anugerah Green Flag sebanyak dua kali.
Eco Schools merupakan program antarabangsa bagi pembangunan Kelestarian Alam Sekitar dengan menggunakan Kaedah 7 Langkah.
Kumpulan 2 menanda aras di SMK Sandakan kerana sekolah berkenaan mempunyai amalan terbaik dalam pengurusan Asrama, Pusat Sumber Sekolah dan Buku Rekod Mengajar (RPH).
Manakala Kumpulan 3 menerima sambutan mesra daripada barisan pentadbiraan SMK Perempuan yang diketuai pengetuanya ketika menanda aras di sekolah itu.
SMK Perempuan merupakan sekolah cemerlang dalam kurikulum dan amalan terbaik sekolah berkenaan telah disampaikan oleh Cikgu Hussin Omar, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Bum-Bum dalam satu sesi pra pembentangan di hadapan peserta SEE yang tidak berkesempatan ke SMK Perempuan.
Rombongan SEE meneruskan aktiviti di Rainforest Discovery Centre (RDC Sandakan) dan Sepilok pada hari ketiga, sebelum rombongan bergerak pulang ke Semporna.
Pengurus RDC Sepilok Bernadatte Joeman menyampaikan taklimat kepada rombongan berkaitan sejarah dan fungsi penubuhan RDC dalam konteks pendidikan alam sekitar, selain melawat di sekitar kawasan RDC yang amat menarik, khasnya pengalaman menaiki menara sambil menikmati pemandangan hutan asli yang menakjubkan.
Lawatan ke RDC dan Sepilok merupakan satu aktiviti yang amat menarik kerana kedua-dua lokasi itu menawarkan pelbagai daya tarikan tersendiri seperti pokok kayu kayan yang menjulang tinggi, orang utan, beruang madu, taman orkid dan sebagainya.
“Perjalanan yang jauh dari Semporna ke Sandakan ternyata amat berbaloi untuk kita lalui kerana kita telah memperolehi pelbagai ilmu untuk diamalkan bila kembali ke sekolah masingmasing,” kata Johan Okasa, pengetua SMK Bum Bum, Semporna.
Ia turut diakui oleh Hajah Halimah Haji Abdul Hamid, pengetua SMK Bugaya 2 dan Hajah Gambalidah Haji Jahiri, pengetua SMK Haji Panglima Jakarullah ketika taklimat di ruang lobi Hotel Tying Garden, Sandakan di mana semua peserta SEE menginap.
Abdul Aziz amat berpuas hati dengan komitmen tinggi yang diberikan oleh semua peserta SEE sepanjang berada di Sandakan.
Beliau mengharapkan program seperti SEE diteruskan pada masa akan datang demi memperkasa kewibawaan barisan pemimpin sekolah termasuk Ketua-ketua Bidang yang dikenali sebagai barisan ‘pemimpin pertengahan’.
“Ketua bidang perlu berfikir seperti pengetua dan bertindak sebagai ketua bidang,” katanya dalam satu mesyuarat yang dipengerusikannya sambil merumuskan bahawa program SEE di Sandakan sebagai amat berjaya, bermanfaat dan menyeronokkan.