Usaha capai pendidikan berkualiti digalas bersama
KENINGAU: Usaha membawa negara mencapai standard pendidikan berkualiti di peringkat antarabangsa perlu digalas semua pihak.
Ketua Bahagian Umno Pensiangan Datuk Abdul Ghani Datuk Mohamad Yassin berkata, pelbagai program diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti sarana ibu bapa dan sekolah sebagai platform meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak serta penglibatan komuniti dalam aktiviti sekolah.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Murid dan Penyampaian Hadiah 2017 SK Rancangan Biah, di sini pada Rabu.
Katanya, inisiatif itu seperti yang termaktub dalam laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025), yang merupakan salah satu daripada 11 anjakan strategik, dan operasi menyediakan pendidikan yang berkualiti adalah kerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
“Pembelajaran masa kini yang bukan secara tradisional juga dilihat mampu menyuntik pelajar lebih maju berbanding dahulu.
“Ini dapat dilihat menerusi pelbagai pembangunan dan penambahbaikan sistem pembelajaran yang berkualiti dilakukan oleh kerajaan dari masa ke masa,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 150 pelajar, ibu bapa dan guru menerima anugerah dan sijil.
Hadir sama, Guru Besar SK Rancangan Biah Geoffrey Jospeh Chong Lip Kok, guru Besar SK Membulu Faizal Fazli, wakil Unit Cawangan Trafik PDRM Keningau Sarjan Morinus Tati, Ketua Pemuda Umno Pensiangan Jehan Osman Ongkomog dan Pemaju Mukim Pohon Batu Barahim Andipoh.