Minat mendorong Amabel pilih kerjaya dalam bidang masakan
KOTA KINABALU: Minat memasak sejak zaman kanakkanak mendorong Amabel Ashley Remy Makajil, 19, nekad untuk memilih bidang masakan sebagai kerjayanya.
Kebolehan remaja berasal dari Penampang ini terbukti apabila dia memenangi pingat emas dalam dua pertandingan hospitaliti baru-baru ini.
Dia muncul juara kategori Masakan Panas dalam Sabah Hospitality Fiesta 2017 dan TVET Fiesta 2017.
Bakat masakan remaja ini membolehkan dia diambil bekerja di sebuah restoran Cina di Kuala Lumpur.
Walaupun dia pandai masak semua jenis makanan namun, kepakarannya adalah dalam masakan Cina.
“Saya seorang yang sukakan cabaran. Biarpun masakan Cina agak sukar disediakan namun, saya tetap ingin menguasai kemahiran memasak makanan Cina.
“Jika tiada cabaran dalam kerjaya kita tidak akan tahu sejauh mana kemampuan kita,” kata penerima Anugerah Pelatih Terbaik Ascot Academy ini.
Dia menerima anugerah itu sempena Majlis Penyampaian Sijil untuk Program Sijil Kemahiran Malaysia Penyediaan & Pembuatan Makanan Tahap Dua & Operasi Khidmat Tetamu Tahap Tiga, di sini pada Khamis.
Ditanya faktor yang menyebabkan dia memilih bidang hospitaliti, Amabel berkata dia melihat peluang pekerjaan dalam bidang itu begitu luas. Kemahiran yang diperoleh tidak terhenti di situ.
“Jika kita mahir memasak, sampai bila-bila pun kita boleh memasak. Sekiranya kita tidak lagi bekerja dengan di hotel atau restoran, kita boleh mengusahakan perniagaan sendiri,” katanya.
Dia sendiri merancang untuk mengusahakan restoran sendiri pada masa akan datang. Namun buat masa sekarang, dia ingin menimba pengalaman terlebih dahulu.