Nazri cadang undang-undang elak diskriminasi dalam industri perhotelan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bercadang untuk meneliti sebuah akta baharu bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap sebarang perbuatan diskriminasi dalam industri perhotelan terutamanya perkara yang melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, buat masa ini, akta sedia ada di bawah kementeriannya tidak mempunyai peruntukan tersebut untuk membolehkan tindakan dikenakan terhadap individu yang melakukan perbuatan sedemikian.
“Sekiranya akta itu wujud dan menyatakan perbuatan diskriminasi tidak boleh dilakukan maka tindakan boleh diambil. Setakat ini, akta sedia ada di bawah kementerian saya tidak mempunyai peruntukan itu.
“Jadi, jika perlu kita boleh bawa perkara ini dibincangkan bagi mewujudkan akta baharu untuk membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana individu atau perbuatan yang melanggar Perlembagaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) yang ingin tahu bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap hotel yang melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) diskriminasi selain sama ada kementerian bercadang mewujudkan peraturan khas untuk menangani isu tersebut.
Dalam pada itu, Mohamed Nazri turut mencadangkan pihak hotel menyelaraskan pakaian seragam kakitangannya di kaunter hadapan selari dengan tuntutan agama dan budaya semua masyarakat bagi mengelakkan unsur diskriminasi.-Bernama