50 ditangkap setelah bantahan bertukar keganasan
BRUSSELS: Seramai 50 orang telah ditangkap kelmarin di Brussels selepas anggota polis diserang dan beberapa kedai mengalami kerosakan akibat kesan satu bantahan terhadap pembongkaran baru-baru ini mengenai pasaran hamba pendatang di Libya, menurut pihak berkuasa.
Sekumpulan orang telah berpecah dari kumpulan tunjuk perasaan menentang perhambaan di Libya sebelum mereka memakai topeng dan menjadi ganas.
Insiden telah berlaku di kawasan kejiranan komersil yang sibuk di sekitar Place Louise berhampiran dengan pusat bandar di ibu negara Belgium, jurucakap polis Ilse Van de Keere memberitahu AFP.
Pihak polis Brussels menyatakan di dalam Twitter: “50 telah ditangkap dan terdapat tiada kecederaan yang telah dimaklumkan.”
Menurut pihak penyiaran awam RTBF, mereka yang ditangkap semasa keganasan berusia di antara 15 dan 18 tahun.
Sebuah kereta polis turut menjadi sasaran dan roket telah dilontar, menurut Van de Keere. Beberapa anggota telah dikerahkan dan keadaan tenang semula pada awal petang.
Rangkaian AS CNN mencetuskan satu gelombang kutukan ketika ia menyiarkan rakaman pada minggu lepas mengenai satu lelongan di mana lelaki kulit hitam telah ditunjukkan kepada para pembeli dari Afrika Utara sebagai bakal pekerja ladang dan dijual.
Ini merupakan kali ketiga di mana keganasan meletus di Brussels dalam masa beberapa minggu.
Pada 15 November, satu rali yang tidak dibenarkan dianjur oleh seorang bintang muda media sosial meningkat ketika pihak polis cuba untuk meleraikan orang ramai.
Empat hari kemudian, terdapat keganasan selepas kelayakan Maghribi bagi Piala Dunia bola sepak 2018. — AFP