TIADA ISU AGAMA DI SABAH
Keharmonian kalangan masyarakat perlu dipertahankan
TAWAU: “Tidak ada isu agama di negeri kita yang tercinta ini,” demikian menurut Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah di sini, Jumaat. Menurutnya, persefahaman dan nilai hidup harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini lebih ketara lantas menuntut rakyat supaya sentiasa mempertahankan nya.
“Kita mempunyai alam semulajadi yang tiada tolok bandingnya untuk menarik orang luar datang ke Sabah, tetapi pada masa sama kita juga mempunyai masyarakat yang harmoni.
“Kita tidak mahu ada pihak yang cuba menangguk di air keruh malah cuba mempolitikkan agama,” katanya.
Musa juga mengingatkan supaya rakyat tidak membiarkan keadaan yang berlaku di Iraq dan Syria merebak ke negeri ini untuk memastikan nikmat yang dikecapi kini berterusan.
Menyentuh mengenai sambutan memperingati Hari Kelahiran Nabi Muhammad SAW yang diadakan pula, beliau mengajak rakyat supaya mencontohi keperibadian Rasulullah.
“Akhlak dan kebijaksanaannya membawa perubahan kepada seluruh dunia, malah Baginda melakukan transformasi besar meliputi pelbagai aspek kehidupan untuk dicontohi.
“Dalam konteks masyarakat kita pada hari ini, transformasi perlu untuk mencorak hala tuju hidup secara holistik seterusnya memacu kemajuan pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata rakyat perlu terus bersikap positif dan responsif di dalam menjayakan usaha-usaha transformasi kerajaan memacu kemajuan negeri dan kesejahteraan ummah.
Baginda Rasulullah juga disifatkannya sebagai menjadi contoh pemimpin yang lebih banyak bekerja dan kurang bercakap serta mengajar nilai ketaatan dan kesetiaan.
“Baginda menekankan sifat muafakat dan persefahaman serta melarang umatnya berbalah dan bersengketa, termasuklah fitnah memfitnah, berprasangka dan caci-mencaci.
“Rasulullah turut menjadi contoh kepada kita di dalam menjaga hubungan dengan orang bukan Islam, malah kita dilarang menganiaya orang bukan Islam,” katanya.