KPDNKK Lahad Datu laksana operasi ‘Back to School’
LAHAD DATU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan daerah telah melaksanakan operasi ‘Back to School’ bagi melakukan pemeriksaan harga barangan keperluan sekolah, di sini pada Rabu.
Ketua Cawangan KPDNKK daerah Rino Hisham Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, operasi itu dilaksanakan untuk memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan dalam menaikkan harga pakaian dan barangan kelengkapan sekolah.
“Setakat ini, kita melakukan pemeriksaan ke atas empat premis jualan pakaian di kawasan sekitar bandar wilayah daerah ini dan buat masa ini tiada kenaikan harga dikesan,” katanya.
Beliau menasihatkan kepada para peniaga agar tidak menaikkan harga kelengkapan barangan persekolahan dengan sewenang-wenangnya kerana pihaknya sentiasa melakukan pemantauan secara berterusan.
“Bagi peniaga yang ingin mengadakan jualan murah sempena musim kembali ke sekolah, bolehlah membuat permohonan online melalui http://njm.kpdnkk.gov. my atau pergi ke Pejabat KPDNKK berdekatan,” katanya.