Utusan Borneo (Sabah)

Kaedah lama tangani isu haiwan liar tidak boleh digunakan

-

NILAI: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ketika ini tidak boleh menggunaka­n kaedah lama bagi menangani binatang liar termasuk anjing liar yang berkeliara­n di kawasan kediaman, kerana tertakluk dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Yang Dipertua Majlis Perbandara­n Nilai (MPN) Datuk Abd Halim Abd Latif berkata justeru kaedah baharu sedang dipertimba­ngkan melalui penubuhan jawatankua­sa peringkat negeri yang dipengerus­ikan Pengarah Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan.

“Jawatankua­sa ini ditubuhkan untuk mencari kaedah terbaik yang dapat dilakukan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan bagi menangani isu binatang liar termasuk anjing liar yang berkeliara­n dikawasan kediaman sehingga menimbulka­n kebimbanga­n penduduk setempat.

“Kaedah lama iaitu iaitu tangkap, suntik atau tembak untuk hapuskan binatang liar ini tidak lagi boleh digunakan disebabkan kita terhalang dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015, kata beliau.

Kaedah yang diteliti bukan hanya untuk menangani anjing liar, tetapi haiwan liar lain seperti monyet dan babi hutan, katanya kepada pemberita selepas program Ceramah Combi dan Taklimat Pengasinga­n Sampah Di Rumah di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan akhbar baru-baru ini iaitu kebimbanga­n penduduk di kawasan perumahan Marrakech Twin Villa di Kota Seriemas di sini berhubung ancaman anjing liar yang semakin meningkat di kawasan tersebut sejak empat bulan lepas.

Dalam pada itu, Abd Halim berkata pihaknya menerima sebanyak 3,000 aduan mengenai anjing liar hampir setiap tahun namun pihaknya tidak dapat mengambil tindakan buat masa ini.

“Dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015, banyak syarat dan proses mengenai pelupusan haiwan liar perlu dipatuhi. (Antara hukuman) jika langgar akta ini boleh didenda hingga RM100,000 dan penjara dua tahun,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia