Utusan Borneo (Sabah)

Minat terhadap sape bawa Hikaru ke bumi Dayak

-

TOKYO: Hikaru Yokoyama memetik sape kesayangan­nya dengan penuh penghayata­n ketika memainkan sebuah lagu Kenyah berjudul ‘Leleng’ketika orang ramai sibuk membeli-belah di AEON Makuhari Shintosin Mall, di sini baru-baru ini.

Dengan memakai baju hitam lengan panjang dihiasai motif kebanggaan Orang Ulu serta mengenakan ‘lavung tepo’ (topi Orang Ulu), kehadiran anak jati Tokyo berusia 22 tahun itu serta muzik etnik yang dimainkann­ya, begitu menyerlah dan menarik perhatian ramai.

Sekali sekala, Hikaru mengukir senyuman kepada penonton yang kelihatan terpesona dengan irama Borneo yang dimainkann­ya.

Walaupun mula belajar memainkan alat muzik itu belum sampai setahun, tetapi minat Hikaru terhadap sape lahir sejak lebih dua tahun lepas apabila beliau dengan tidak sengaja berkenalan dengan muzik berkenaan ketika melayari Youtube.

“Saya amat terpesona ketika pertama kali mendengar muzik. Melodinya boleh meremangka­n perasaan, tetapi mendamaika­n jiwa. Belum pernah saya dengar bunyi-bunyian seperti itu sebelumnya,” kata mahasiswa jurusan Pengajian Melayu di Tokyo University of Foreign Studies kepada Bernama, di sini baru-baru ini.

Sejak itu, Hikaru tertarik untuk meneroka dan mengetahui dengan lebih mendalam tentang sape daripada Internet serta buku dan dalam usaha itu, beliau berkenalan dengan beberapa pemain sape, termasuk Jerry Kamit dari Sarawak dan Julien Cottet dari Perancis.

Minat Hikaru terhadap sape yang semakin mendalam meruntun jiwanya untuk berkunjung ke Sarawak bagi mempelajar­i tentang alat muzik itu secara langsung daripada penduduk tempatan.

Menurut Hikaru, peluang itu tiba selepas beliau memohon dan diterima mengikuti latihan dengan sebuah syarikat pelanconga­n Jepun di cawanganny­a di Kuching.

“Saya tiba di Kuching Februari tahun ini dan kunjungan ke sana benarbenar membuka mata saya. Saya didedahkan kepada keindahan budaya masyarakat di sana.

“Paling menggembir­akan, saya akhirnya berpeluang bertemu dengan idola saya. Perkara yang saya impikan sebelum ini, akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Hikaru kemudian ditempatka­n untuk berguru dengan Cottet dan beliau menghabisk­an masa selama enam bulan di Sarawak untuk belajar menguasai kemahiran bermain alat muzik itu daripada Cottet dan beberapa pemain sape lain.

“Itulah detik-detik yang tidak ternilai harganya bagi diri saya semasa di Sarawak. Cottet juga membantu mendapatka­n sape pertama untuk saya. Ia berharga RM700,” katanya.

Apabila kembali ke Tokyo, Hikaru memperkena­lkan alat muzik itu kepada rakanrakan­nya dan memainkan alat itu dalam persembaha­n secara solo atau dengan kumpulan muziknya.

Selain berlatih memainkan lagu tradisiona­l Orang Ulu dan Iban yang dipelajari­nya semasa di Sarawak dulu, Hikaru juga cuba memainkan lagu Jepun dan lagu pop moden dengan menggunaka­n alat itu.

“Saya ingin hasilkan lebih banyak muzik fusion dan memperkena­lkan lut comel ini kepada lebih banyak penonton dan masyarakat Jepun,” katanya.

Hikaru berkata beliau merancang untuk berkunjung semula ke Sarawak setelah tamat pengajian pada 2019.

“Sekarang pun, saya mula mencari syarikat Jepun yang mempunyai pejabat cawangan di sana dan malah, bercadang untuk memulakan kerjaya saya di sana. Saya pasti akan ke sana lagi,” katanya sambil tersenyum dan dengan penuh yakin.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia