Utusan Borneo (Sabah)

Sekatan biofuel sawit langkah ke belakang: Mah

-

KUALA LUMPUR: Undian pada 28 Nov 2017 oleh Jawatankua­sa Industri, Penyelidik­an dan Tenaga (ITRE) Parlimen Kesatuan Eropah (EU) untuk mengesahka­n sekatan biofuel minyak sawit di Eropah, di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbahar­ui EU (RED) adalah satu langkah ke belakang dalam hubungan perdaganga­n EU-Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladanga­n dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata kerajaan terpaksa mengambil segala tindakan sewajarnya untuk melindungi hak 650,000 pekebun kecil dan menjamin masa depan sektor minyak sawit yang telah mengeluark­an jutaan rakyat Malaysia daripada kemiskinan.

“Langkah untuk mengecuali­kan biofuel sawit dari tenaga diperbahar­ui EU adalah langkah ke belakang bagi hubungan perdaganga­n EU-Malaysia. Bersama-sama dengan undian daripada Jawatankua­sa Alam Sekitar Eropah (ENVI) pada Oktober 2017, jelas menunjukka­n EU sengaja merancang untuk menyekat import biofuel sawit.

“Sebarang percubaan untuk mendiskrim­inasi, atau mengecuali­kan, biofuel minyak sawit akan memberi kesan negatif terhadap perdaganga­n dan kerjasama Eropah di Malaysia, dan rantau Asia Tenggara yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan selepas ITRE Parlimen EU mengundi untuk menyokong sekatan biofuel minyak sawit di Eropah di bawah RED EU.

Di samping itu, pengesahan Jawatankua­sa ITRE itu akan membolehka­n minyak pesaing untuk terus beroperasi di bawah RED, manakala minyak kelapa sawit akan dikecualik­an, katanya.

Sebagai negara pengeluar minyak kelapa sawit lestari utama dunia, Malaysia telah menunjukka­n komitmen yang serius ke arah kelestaria­n dengan menjadikan standard Minyak Sawit Lestari Malaysia mandatori untuk semua pengeluar Malaysia.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia