Utusan Borneo (Sabah)

PKM didakwa bertanggun­gjawab atas kehilangan Jim Thompson di Cameron Highlands

-

BANGKOK: Pada tengah hari 26 Mac 1967, Raja Sutera Thailand, Jim Thompson dilaporkan hilang sewaktu keluar berjalan-jalan di Cameron Highlands, Malaysia tanpa sebarang kesan, dan misteri kehilangan­nya gagal diselesaik­an.

Kehilangan warga Amerika Syarikat (Amerika) yang popular ini dikaitkan dengan berbagai kisah dan teori, yang merupakan ahli perniagaan tekstil dan sutera yang berjaya di Thailand dan beliau adalah bekas ejen perisikan di Jabatan Perkhidmat­an Strategik (OSS) yang kemudian dibubarkan dan dikenali sebagai Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Selepas berkhidmat dengan cemerlang semasa Perang Dunia Kedua, Thompson menukar haluan membantu menggiatka­n semula industri sutera di negara Gajah Putih itu hingga dikenali dunia, termasuk pelanggann­ya terdiri daripada bintang ternama Hollywood.

Jadi apa kisah sebenarnya yang menimpa warga Amerika berusia 61 tahun ini? Bermacam spekulasi disebarkan ada yang mengaitkan beliau dibaham harimau, sesat di dalam hutan selepas gagal mencari laluan trek keluar, jatuh gaung atau diculik.

Kini, dokumentar­i baharu bertajuk ‘Who Killed Jim Thompson’ yang ditayangka­n di Thailand beberapa hari yang lepas telah membuat pendedahan yang mengejutka­n, mendakwa ia berjaya membongkar misteri kehilangan bekas perisik dan ahli perniagaan sutera yang terkenal itu.

“Jim Thompson telah dibunuh oleh Parti Komunis Malaya (PKM),” dakwa penerbitny­a, Barry Broman daripada Adventure Film Production­s di sini baru-baru ini.

Bercakap semasa tayangan perdana dokumentar­inya di sini, beliau mendakwa maklumat baharu itu yang mengaitkan PKM tentang kehilangan Thompson diketahui oleh rakannya, Xuwicha ‘Noi’ Hiranpruek kira-kira lima tahun yang lalu.

Mengimbau semula kisah itu, beliau berkata Hiranpruek menghubung­inya dan memaklumka­n tentang maklumat baharu itu yang katanya akan dapat menyelesai­kan misteri kehilangan warga Amerika itu di Malaysia.

Hiranpruek, yang turut hadir semasa tayangan perdana itu, berkata maklumat mengenai pembabitan PKM dengan kehilangan Thompson itu diketahui, selepas berbual dengan seorang rakannya warga Singapura, Teo Pin yang kini menetap di Shanghai.

Teo, seorang juruukur yang turut hadir pada tayangan perdana itu, mengetahui pembabitan PKM itu selepas bapa saudaranya, Teo Pok Hwa membuat pengakuan di saatsaat akhir sebelum kematianny­a, yang beliau pernah berkhidmat sebagai kader kanan PKM.

Semasa menginap di Banglo Moonlight di Cameron Highlands, Thompson menurut Teo seperti yang diberitahu oleh mendiang pak ciknya, telah memaklumka­n hasratnya untuk bertemu Chin Peng, yang ketika itu adalah setiausaha agung PKM, atas alasan yang tidak diketahuin­ya.

“Thompson mahu berjumpa Chin Peng, yang ketika itu adalah individu yang paling dikehendak­i di Malaya,” katanya, dan menambah permohonan warga Amerika itu telah menimbulka­n syak wasangka di Cameron Highlands, yang pada masa itu sarang kegiatan komunis.

Beliau juga mendakwa Banglo Moonlight, iaitu lokasi sebelum kehilangan warga Amerika itu, sebelum ini adalah ibu pejabat PKM.

Permintaan bahaya untuk bertemu lelaki paling dikehendak­i di Malaya itu, kata Teo, telah memaksa PKM dan sekutunya di Cameron Highlands mengorek lebih banyak maklumat mengenai Thompson, yang akhirnya mendedahka­n penglibata­n mangsa sebagai ejen rahsia dengan agensi perisikan barat.

Broman berkata ia bukanlah masa yang sesuai bagi warga Barat itu yang merupakan bekas ejen rahsia untuk bertemu Chin Peng, dan menambah PKM kemudian memutuskan Thompson adalah seorang perisik dan membuat keputusan untuk menamatkan hayatnya.

“Jim (Thompson) sepatutnya lebih bijak daripada meminta untuk bertemu Chin Peng. Beliau telah mempertaru­hkan nyawanya,” katanya.

Menurut Broman maklumat terbaru ini yang mengaitkan PKM dengan kehilangan Thompson, turut disokong dengan penemuan satu lagi maklumat terkini yang diperoleh daripada Willis Bird Jr atau dikenali sebagai Billy, dalam kalangan rakan-rakannya.

Mendiang bapa Billy, Willis Bird Sr, katanya adalah rakan sekerja Thompson semasa di OSS yang kedua-duanya mempunyai hubungan yang rapat dengan perdana menteri Thailand ketika itu, Pridi Banomyong sebelum beliau digulingka­n dan dibuang negeri ke China.

Menurut Billy yang turut hadir semasa tayangan itu, Pridi mahu bapanya bertemu dengannya di China tetapi Bird Sr menolak jemputan itu yang kemudianny­a dipersetuj­ui oleh Thompson, yang mengembara ke Cameron Highlands bagi tujuan tersebut.

Bapa Billy beritahu beliau bahawa Raja Sutera Thai itu dibunuh oleh PKM atas perintah Parti Komunis China untuk menghalang usahanya bertemu bekas perdana menteri Thailand itu di China. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia